SEBANYAK 286 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah terdiri daripada kategori 3, 4 dan 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu merangkumi 1.8 peratus daripada 15,764 kes baharu yang dilaporkan.

“Sebanyak 15,478 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Secara keseluruhan, kata Noor Hisham, 3,525 kes (22.4 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19 sekurang-kurangnya telah menerima satu dos.

Sementara itu, sebanyak 219 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada hari ini yang merupakan angko korban harian tertinggi.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kematian kumulatif COVID-19 kini berjumlah 9,403.

Menurut Noor Hisham, daripada 219 kematian hari ini, sebanyak 105 kes dilaporkan di Selangor.

Katanya, ini diikuti 41 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 24 kes di Johor, sembilan kes di Melaka, lapan kes di Pahang, tujuh kes di Negeri Sembilan dan masing-masing enam kes di Kedah dan Perak.

Baca artikel berkaitan: 15,764 kes baharu, 5 negeri catat penularan lebih seribu

“Turut dilaporkan masing-masing empat kes di Kelantan dan Terengganu, tiga kes di Sabah, serta masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan 29 lagi kluster COVID-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 13 adalah kluster tempat kerja, diikuti komuniti (11), kumpulan berisiko tinggi (tiga) dan kegamaan serta pendidikan masing-masing satu.

Daripada kenyataan tersebut, kluster Tapak Bina Batu Lima 2 di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes baharu yang tinggi hari ini dengan 179 kes.

Keseluruhannya kluster berkenaan melaporkan 430 kes.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram