Nenek 64 tahun, cucu antara 3 tokan dadah dicekup

Dari Penulis

SEORANG nenek berusia 64 tahun dan cucu lelakinya antara tiga suspek yang dicekup polis baru-baru ini selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bernilai RM86,000, di Taman Seri Bayu di Alor Gajah, Melaka.

Mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka yang membuat serbuan di sebuah rumah di taman perumahan itu kira-kira pukul 6 pagi.

Ketua JSJN negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas bersama 18 peket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 2.2 kilogram dan enam peket plastik lutsinar disyaki heroin seberat 533 gram.

“Susulan tangkapan itu, polis memberkas dua lagi suspek dipercayai rakan sindiket yang merupakan seorang wanita warga emas dan cucu lelakinya yang berusia 21 tahun di kawasan sama kira-kira 45 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkiflee berkata, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di kawasan tempatan dan boleh menampung kegunaan kira-kira 6,200 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek pertama didapati positif dadah jenis methamphetamin, selain turut mempunyai dua rekod lampau berkait kes jenayah serta dadah.

Selain itu katanya, warga emas itu turut memiliki dua rekod berkaitan dadah, sementara cucunya mempunyai masing-masing satu rekod jenayah dan dadah.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas barang kemas dan sebuah kereta serta motosikal berjumlah keseluruhan RM24,782.11 yang dipercayai digunakan bagi kegiatan pengedaran dadah ini,” ujarnya.

Beliau menambah, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This