PERLIS, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa dua hari lagi.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang terdahulu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya petang ini, Muhyiddin berkata, keputusan itu diambil kerana tiga buah negeri itu menunjukkan prestasi yang amat baik.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan. Suka untuk saya mengingatkan agar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

Semua sektor ekonomi dibuka semula di bawah Fasa 3 PPN kecuali berisiko tinggi manakala aktiviti merentas daerah dibenarkan manakala makan di kedai atau dine-in terhad kepada dua orang semeja.

Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas MKN hari ini./Gambar FB PM.

Sementara itu, Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

Menurutnya, lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat.

Baca artikel berkaitan: Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa 2 PPN mulai Isnin

“Petang ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas MKN bagi memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin.

“Turut dibincangkan adalah kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi. Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya-Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat,” ujarnya.

Jelas Muhyiddin, pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras PPN, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram