SEBANYAK 398 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu adalah 1.9 peratus daripada keseluruhan kes harian yang berjumlaj 20,596.
Katanya, sebanyak 20,198 kes lagi atau 98.1 peratus adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.
“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.
“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Secara keseluruhan, kata Noor Hisham, hanya 4,660 kes atau 22.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.
Sementara itu, sebanyak 164 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan pada hari ini.
Perkembangan ini menjadikan jumlah kumulatif korban akibat wabak itu kini melepasi angka 10,000.

Menurut Noor Hisham, daripada 164 kes kematian hari ini, sebanyak 45 kes di Selangor, 27 kes di Johor, 24 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 18 kes di Kedah dan 10 kes di Perak.
“Turut dilaporkan masing-masing sembilan kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Melaka, tujuh kes di Negeri Sembilan, masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.
Baca artikel berkaitan: REKOD!! 20,596 kes baharu, 6 negeri lepasi 1,000 penularan
Kes bergejala serius indikator baharu peralihan fasa PPN – Zafrul

Dalam pada itu, 1,078 kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 549 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Jumlah kes aktif pula seramai 217,061 dan kes sembuh 13,893.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 33 lagi kluster baharu COVID-19 dikesan KKM hari ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 18 adalah tempat kerja diikuti komuniti (12), pusat tahanan 9dua) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).
“Jumlah kluster aktif kini berjumlah 1,177,” kata Noor Hisham.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

