UMNO akan menjawab surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Isnin ini susulan keputusan bahawa ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan diisytihar sebagai tidak sah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan, keputusan itu telah dirujuk kepada peguam parti dan berpandangan tiada kekhilafan dilakukan parti tersebut.
Kata beliau, surat Ketua Pengarah RoS pada 19 Julai lalu juga menyatakan bahawa tiada halangan tentang penangguhan sejajar Perkara 10.16 Perlembagaan UMNO.
“Setiausaha Agung UMNO akan memberi surat jawapan balas kepada Ketua Pengarah RoS.
“Peguam UMNO telah dirujuk dan mereka menyatakan tiada sebarang kekhilafan di pihak UMNO,” katanya dalam Twitter, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Keputusan tangguhkan pemilihan UMNO tidak sah – RoS
Terdahulu, Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim dalam kenyataan memaklumkan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat merangkumi MKT, Bahagian dan Cawangan selama 18 bulan adalah tidak sah.
Kata Jasri, ia kerana tempoh pemegang jawatan MKT UMNO bagi penggal 2018 hingga 2021 telah tamat pada 30 Jun lalu.
Ketetapan itu berdasarkan minit mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai untuk menangguhkan pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan UMNO selama 18 bulan.
8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar secara maya memaklumkan MKT UMNO yang bermesyuarat pada hari sebelumnya telah membuat ketetapan untuk mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.
Hujung Jun lalu, Ahmad dalam kenyataan pula memberitahu UMNO menangguhkan pemilihan di semua peringkat selama 18 bulan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah RoS.
Kata beliau, surat-surat jawapan sudah diperoleh daripada Ketua Pengarah KKM bertarikh 10 Mei lalu sementara Ketua Pengarah ROS dan MKN masing-masing bertarikh 2 Jun dan 11 Jun lalu.
“Inti pati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian/maya.
“Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara dalam talian, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik COVID-19 adalah terkawal,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

