KETIKA gadis berbangsa Cina ini saya temui, wajahnya tersembam mencium lantai. Dia telah mati dibunuh. Rambutnya dibasahi darah. Lehernya yang dijerut dengan dawai itu sudah membengkak dan kehitaman.

Saya percaya, gadis ini dirogol. Mayatnya ditemui tanpa seurat benang. Tangannya terikat di belakang.  

Saya tinjau seputar tempat kejadian yang juga merupakan rumah mangsa. Tiada sedikit pun kesan pergelutan dalam apartmen yang terletak di Ampang ini. Timbul pertanyaan dalam diri saya, mengapa begitu mudah gadis ini dirogol kemudian dibunuh? Apakah dia ada hubungan dengan pembunuhnya?

Sangkaan saya ini meleset. Mangsa dipercayai telah disamun. Bererti, si pembunuh tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mangsa. Dia telah mengambil wang tunai dan barang kemas mangsa. Siapakah sebenarnya pembunuh wanita ini?

“Tuan… kes ni mungkin ada kaitan dengan suspek perogol bersiri, Ah Chin,” kata seorang pegawai forensik pada saya.

Hati-hati, Ah Chin akan meletakkan pil khayal di dalam makanan atau minuman mangsa, kemudian merogol dan membunuh mereka.

Ah Chin…

Nama ini benar-benar membuatkan jantung saya bergemuruh. Ah Chin adalah nama yang diberikan oleh pihak polis pada seorang suspek perogol bersiri yang turut terlibat dengan jenayah samun dan bunuh. Ah Chin merupakan nama yang sering digunakan suspek untuk memperdaya mangsanya.  

Sudah lebih setahun diburu, namun Ah Chin masih belum dapat diberkas . Dia sungguh licik. Sewaktu melakukan jenayah tersebut, Ah Chin terlebih dahulu akan memberikan pil khayal dalam minuman mangsa kemudian merogolnya. Sekiranya mangsa tersedar, atau mungkin membahayakan keselamatannya, mangsa akan dibunuh. Kebanyakannya dijerut sampai mati!

Ah Chin biasanya menyamar sebagai jurujual barangan kosmetik, ataupun jurujual kereta dan broker rumah. Dengan cara ini, Ah Chin akan membina hubungan yang baik dengan mangsa.

Ah Chin mempunyai ciri tertentu sewaktu melakukan jenayahnya. Biasanya, tangan mangsa akan diikat dengan sapu tangan. Selalunya juga, Ah Chin akan membelanja mangsa dengan hidangan makanan segera. Mangsa juga selalunya berbangsa Cina dan Ah Chin tidak pernah meninggalkan kesan cap jarinya.

“Kamu pasti ini semua angkara Ah Chin lagi?” tanya saya penuh emosi.

Pegawai tersebut mengiakan. Beberapa bahan bukti ditunjukkan pada saya. Mayat gadis tadi dihantar ke hospital dan hasil daripada bedah siasat, ujian DNA didapati sama dengan DNA Ah Chin.

Ah Chin bijak menyamar dan memperdayakan mangsanya.

Perbuatan Ah Chin ini sama sekali tidak dapat diampunkan. Lantaran itu, pihak polis menyusun strategi yang lebih terperinci untuk menjejakinya. Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, Ah Chin terlibat dengan empat kes jenayah di sekitar Selangor, 12 kes di Kuala Lumpur, dan satu, dua kes lagi di sekitar Perak dan Pulau Pinang.  

Satu mesyuarat perancang telah diadakan dan pada awal tahun 2000, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang wanita Cina yang mendakwa sering diganggu oleh seorang jurujual kosmetik.

Laporannya banyak persamaan dengan cara Ah Chin melakukan jenayahnya. Tambahan pula, wanita itu turut mendakwa jurujual tersebut menggunakan nama Ah Chin.  

Kata wanita itu, dia sering diganggu menerusi panggilan telefon, dan sering didesak untuk keluar bersama suspek berkenaan. Suspek juga sering memberikan hadiah dan barangan kosmetik percuma kepadanya.

Perbuatan suspek itu mengundang rasa curiga dan kurang senang wanita berkenaan. Suspek juga pernah kelihatan mengekori wanita tadi sewaktu hendak pulang ke rumahnya.  

Pihak kami segera meminta kerjasama wanita itu untuk memerangkap Ah Chin. Saya sangat gembira apabila wanita ini mahu bekerjasama menangkap Ah Chin. Kami tidak boleh menahan Ah Chin serta-merta kerana penjenayah ini perlu disabitkan dalam satu kesalahan terlebih dahulu untuk dikaitkan dengan kes-kesnya sebelum ini.

Dalam operasi ini, pihak polis terpaksa melakukan penyamaran dan satu perangkap telah dipasang dengan rapi. Untuk itu, wanita tadi telah mengajak Ah Chin untuk menginap di sebuah hotel di ibu kota Kuala Lumpur. Seperti diduga, Ah Chin sangat suka dengan pelawaan tersebut.

Keesokannya, wanita itu telah berjumpa dengan Ah Chin di satu tempat yang telah dirancang. Dalam operasi ini saya menjadi seorang pemandu teksi. Sebagaimana yang dirancangkan, saya telah membawa suspek dan wanita tadi ke hotel berkenaan.

Sewaktu membawa suspek ke hotel tersebut, hati saya berdebar-debar. Itulah kali pertama saya bersemuka dengan penjenayah yang dipanggil Ah Chin ini. Ikutkan hati mahu saja saya cekik-cekik penjenayah ini. Tapi, demi menjayakan tugas ini saya terpaksa mengawal perasaan.

Beberapa orang polis menyamar sebagai pekerja di hotel tersebut. Gerak-geri Ah Chin dapat kami perhatikan melalui kamera pengintip yang telah dipasang dalam bilik hotel berkenaan. Selain itu, wanita tadi juga dibekalkan dengan pembesar suara dan kamera pengintip lain pada pakaiannya.

Ah Chin tidak melakukan apa-apa sehinggalah tiba waktu malam. Seperti biasa, Ah Chin terlebih dahulu akan membeli makanan segera untuk diberikan pada bakal mangsanya tadi. Ah Chin kami lihat juga sedang melilit sapu tangan pada pergelangan tangannya, untuk mengikat mangsanya.

Selesai menjamu selera, Ah Chin telah meletakkan pil khayal dalam minuman wanita berkenaan. Tidak sampai beberapa minit, wanita itu rebah tidak sedarkan diri. Saat itu, Ah Chin kelihatan membuka pakaian mangsa, kemudian mengikat tangannya.

Akhirnya Ah Chin dapat kami perangkap. Tetapi jenayah rogol dan bunuh tetap juga berlaku. Kepada kaum wanita, berhati-hatilah…

Pihak polis dengan segera menyerbu bilik tersebut. Dan, DAMMM… DAMMM… pintu hotel tersebut diterjah. Wajah Ah Chin cukup cemas, namun tiada apa yang dapat dilakukannya lagi. Akhirnya, penjenayah yang dikehendaki ini jatuh ke tangan polis.

Saya sangat berpuas hati dapat bersama dengan rakan-rakan sejawat menangkap Ah Chin. Tetapi, ia baru dapat menyelesaikan satu kes sahaja. Selepas Ah Chin ditangkap, saya dipanggil pula ke satu tempat kejadian jenayah. Juga berkenaan jenayah rogol dan bunuh. Ia takkan berakhir…!!!

Saban hari, jenayah tidak akan berhenti berlaku. Malah, semakin berleluasa. Kes rogol dan bunuh semakin teruk. Adakah kita semakin kejam?

Amidon Anan

Pencerita : Amidon Anan, bekas Ketua Seksyen Tempat Kejadian, Makmal Forensik PDRM.

————————————————-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam