TIGA kawasan kampung Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang adalah antara sembilan lokaliti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini.
Enam lagi lokaliti yang dilaksanakan PKPD pula terletak di Sabah.
Pelaksanaan PKPD di sembilan lokaliti itu menyusuli 24 kawasan juga di Sabah dan Pahang yang telah pun dikuatkuasakan PKPD mulai esok.
PKPD di sembilan lokaliti terbaharu itu akan dilaksanakan bermula Khamis ini selama dua minggu.
Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad dalam kenyataan hari ini.

Keputusan melaksanakan PKPD di sembilan lokaliti dalam dua negeri itu dilakukan setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Rodzi berkata, pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti itu akan dikuatkuasakan sehingga 8 September depan.
Baca artikel berkaitan: 24 lagi lokaliti dikenakan PKPD di Sabah dan Pahang
Menurut beliau, pelaksanaan PKPD di tiga kampung Orang Asli dalam mukim Ulu Telom itu melibatkan Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong.

“PKPD di Sabah pula melibatkan dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani manakala dua lagi di Kota Belud membabitkan Kampung Sayap dan Kampung Rampayan Laut.
“Pelaksanaan PKPD di Penampang pula akan dikuatkuasakan Kuarters Kilang Mee Tien Hock dan juga Taman Sri Panglima di Beaufort,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi turut memaklumkan enam lagi lokaliti yang sepatutnya tamat PKPD mulai esok akan dilanjutkan lagi selama dua minggu.
Katanya, kesemua kawasan itu terletak di Sabah dengan pelanjutan PKPD bermula Khamis sehingga 8 September depan.
“Lanjutan PKPD itu melibatkan Kampung Pulau Penampang, Kampung Gudon, Menggatal dan Kampung Lobou di Kota Kinabalu.
“PKPD juga dilanjutkan di Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar dan Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

