Gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran bau di seumber air mentah di Sungai Semenyih dikesan pagi tadi./ Infografik Air Selangor.

BUAT kesekian kalinya, pengguna di Selangor terpaksa berdepan gangguan bekalan air akibat pencemaran bau.

Terbaru, jam 11.10 pagi tadi, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas setelah pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Akibatnya, sebanyak 463 kawasan melibatkan Putrajaya dan empat daerah di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Menurutnya, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.

Kata beliau, Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar sungai berkenaan.

Elina berkata, Air Selangor juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna terlibat.

Gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran bau di seumber air mentah di Sungai Semenyih dikesan pagi tadi./ Infografik Air Selangor.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Elina, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa, dan pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti Facebook, Instagram dan Twitter, atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Sementara itu, Air Selangor malam ini memaklumkan LRA Sungai Semenyih yang dihenti tugas pagi tadi, kembali beroperasi selepas bacaan tahap 0 TON (ukuran kadar bau) tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih.

Bagaimanapun, kesemua 463 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air akibat henti tugas LRA Sungai Semenyih, dijangka menerima bekalan air dalam tempoh 36 jam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kali gangguan bekalan air di Selangor berlaku akibat pencemaran bau di sumber air.

Pada Oktober lalu, pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor menyebabkan lebih 1.2 juta akaun pengguna terjejas.

Dalam beberapa kejadian sebelum ini, pencemaran tersebut dikaitkan dengan pembuangan sisa oleh pihak industri.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram