Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BUKAN sekali, tapi dua kali dalam tempoh empat hari sebahagian pengguna di Selangor mengalami gangguan air gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan sumber air mentah.

Apa yang berlaku itu sangat mengundang marah ramai kerana insiden ini berulang saban tahun seolah-olah undang-undang hanya di atas kertas.

Namun seperti djanjikan pihak berkuasa, yang terlibat mencemarkan sungai dengan bahan buangan tak akan dibiarkan terlepas.

Seperti dalam insiden terbaru di Sungai Semenyih 31 Ogos dan 3 September lalu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti puncanya menerusi analisis terperinci.

Cuma agak mengejutkan apabila yang terlibat dalam dua insiden itu adalah pihak yang sama iaitu pemilik kilang berasaskan makanan di Beranang, Selangor.

Apa pun, kilang berkenaan telah dikenakan tindakan henti operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki menjadi punca pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) di Sungai Semenyih.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang berkenaan.

Ini kerana kilang itudisyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu dan yang terkini pada Jumaat lepas, 3 September.

Baca artikel berkaitan: Sudah kenal pasti belum punca pencemaran bau semalam?

Baru pulih semalam, hari ini 463 kawasan di Lembah Klang alami gangguan bekalan air lagi

“Siasatan oleh JAS Selangor pada Khamis dan Jumaat mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa komposisi kimia.

“Siasatan diteruskan pada tengah malam Jumaat yang pengawasan kualiti udara dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu sebatian organik meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu,” kata kenyataan itu.

Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, kelmarin. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut KASA, berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti  Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. 

Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.

Exco Selangor, Hee Loy Sian menghidu air yang tercemar dengan pencemaran bau di LRA Sungai Semenyih di Jenderam Hilir semalam.

KASA dalam kenyataan itu berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen dan telah membuka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Henti tugas di LRA Sungai Semenyih berlaku akibat pencemaran OCS yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada tahap 2 ton di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 5.15 petang Jumaat.

Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram