Sebahagian daripada orang ramai mengisi air yang disediakan oleh syarikat Pengurusan Air Selangor selepas gangguan bekalan air di sekitar Subang Jaya, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGGUNA di semua 463 kawasan di Lembah Klang yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Selasa lalu, menghela nafas lega selepas bekalan air kembali disalurkan ke kediaman masing-masing, semalam.

Namun begitu, kesemua 463 kawasan itu akan sekali lagi mengalami ‘mimpi ngeri’ kerana terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, hari ini.

Ia selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada pukul 5.15 petang tadi.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam hantaran di Facebook miliknya, LRA itu terpaksa dihenti tugas sekali lagi ekoran insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

“Henti tugas ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling; 54 kawasan di Hulu Langat; Sepang (194 kawasan); Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Baca artikel berkaitan: Bekalan air di 463 kawasan Lembah Klang pulih sepenuhnya

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor serta laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/,” katanya.

Selasa lalu, pengguna di Selangor terpaksa berdepan gangguan bekalan air akibat pencemaran bau selepas LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada pukul 11.10 pagi.

Akibatnya, sebanyak 463 kawasan melibatkan Putrajaya dan empat daerah di Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagaimanapun, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas itu telah pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi semalam.

Penyaluran bekalan air bersih dan selamat di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pulih menjelang hari ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram