SEBANYAK 341 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 102 kes adalah jenazah dibawa ke hospital atau BID.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 300 kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan warganegara manakala 41 bukan rakyat Malaysia.
Katanya, Selangor mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 102 kes diikuti Kedah (86 kes) dan Pulau Pinang (38 kes).
“Jumlah individu yang sah positif COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula berjumlah 935 kes manakala 455 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Noor Hisham, terdapat 21,476 kes sembuh dilaporkan hari ini berbanding 21,176 kes baharu.
Katanya, sebanyak 338 atau 1.6 peratus daripada kes baharu merupakan kes dalam kategori 3, 4 dan 5.
“Sebanyak 98.4 peratus atau 20,838 kes baharu dalam kategori 1 dan 2 (tidak bergejala dan bergejala ringan),” ujarnya.
Sementara itu, 37 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 30 daripadanya melibatkan tempat kerja.
Ini diikuti lima kluster komuniti dan dua kumpulan berisiko tinggi.
Baca artikel berkaitan: 21,176 kes baru, Selangor kembali lepasi angka 3,000
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membibangkan (VOC) dan variant of interest (VOI) adalah sebanyak 1,324 kes.
Katanya, daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,304 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.
Secara keseluruhan beliau berkata, sehingga kini, terdapat sebanyak 1,081 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta.
“KKM ingin memaklumkan bahawa, kajian berterusan oleh UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) telah mengenal pasti sebanyak 44 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 dan Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) pula telah kenal pasti 59 kes yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2),” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

