KES dakwaan gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew masih berada dalam proses mengumpulkan segala bukti untuk melengkapkan siasatan.
Memetik laporan Malaysiagazette.com, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan memaklumkan, siasatan itu dikendalikan pasukan pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.
Pada masa sama, beliau turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil segera bagi membantu siasatan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi melancarkan proses melengkapkan kertas siasatan.
“Kita masih dalam proses mengumpul bukti penting untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Namun, kita menyeru mana-mana individu di luar yang mempunyai maklumat tentang kes ini tampil segera di mana-mana balai polis yang berdekatan dan menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.
“Kerjasama ini sangat diharapkan bagi melicinkan lagi proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” kata beliau.
Baca artikel berkaitan: Belum ada maklumat terkini kes Ebit Lew – Polis
Hujung bulan lalu, Abd. Jalil mengesahkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman.
Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut Abd. Jalil, siasatan akan diteruskan sehingga polis berpuas hati dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Terdahulu, Ebit yang tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi mendakwa telah dipanggil polis ekoran fitnah yang disifatkannya sebagai kejam dan melampau.
“Saya dipanggil hari ini untuk membantu siasatan dan saksi terhadap tuduhan dan gosip di luar sana.
“Saya telah membantu, terserah sepenuhnya kepada polis. Ini satu fitnah yang kejam dan melampau tetapi saya reda,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

