Shahril Hamdan

MENYEDIAKAN peluang pekerjaan adalah penyelesaian terbaik kepada masalah kewangan yang dihadapi rakyat kebanyakan ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, tiada pengganti lebih baik daripada penyelesaian peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya, selagi pasaran pekerjaan hambar dan pengangguran berlegar pada angka 700,000 hingga sejuta orang, selagi itu rakyat terperangkap dengan masalah ini.

“Sama ada skim Job Bank atau apa sahaja usaha lain, saya berpandangan jawapannya ialah “jobs, jobs, jobs”.

“Bila rakyat mampu kembali meraih pendapatan bulanan, terutamanya pada kadar yang sepatutnya, barulah kita benar-benar sudah atas jalan pemulihan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Shahril, moratorium, i-Citra, waima Bantuan Khas COVID-19 (BKC) sekalipun tidak akan dan tidak cukup mampu menyelamatkan keadaan untuk tempoh lama lagi.

“Ia sesuai untuk suatu tempoh ketika sebagai ‘plaster’, tetapi tidak merawat dengan menyeluruh – tidak seperti peluang bekerja.

“Apabila bekerja, secara keseluruhannya kita mengeluarkan output untuk ekonomi (supply side) dan meraih pendapatan (demand side).

“Golongan muda khususnya, sudah mendahagakan peluang bekerja dan berusahawan. Cuma peluang itu mesti dibuka lebih meluas,” jelasnya.

Kata Shahril, masalah jangka panjang kepada kewangan rakyat pula memerlukan tindakan berani dari kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok.

Jelasnya, ada pelbagai pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan tetapi beliau ingin mencadangkan skim “pencen sosial” di mana selain caruman KWSP (yang sudah semakin mengecil dan tidak meliputi segenap segmen pekerja), pesara di bawah sesuatu tahap pendapatan diberi kewangan bulanan.

Baca artikel berkaitan: 160,000 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan walaupun ketika penguatkuasaan PKP

376,000 dapat kerja, sasaran 500,000 bakal dicapai – PM

“Saya tidak menolak kebarangkalian rasionalisasi program subsidi Kerajaan di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan “tax-funded social pension scheme” ini berlaku.

“Mungkin ada juga pilihan untuk Kerajaan selepas ini menyumbang kepada caruman selain caruman dari pekerja dan majikan – walaupun mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan tidak selamanya.

“Apa sahaja gabungan pilihan yang diambil (saya guna istilah “gabungan” kerana “one size does not fit all“), semoga idea ini dan sebarang idea lain yang menawarkan penyelesaian tuntas dapat dikaji lebih mendalam oleh kerajaan dengan analisa dan data yang ada,” ujarnya.

Menurut beliau, perubahan pendekatan ini sesuai dengan matlamat peralihan ke fasa endemik sekaligus membantu jutaan rakyat Malaysia yang telah melihat pendapatan dan simpanan mereka menguncup dengan begitu mendadak.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram