Shafien Mamat menunjukkan kenderaan digunakan suspek pada sidang akhbar di Kota Bharu hari ini./ Gambar Polis Kelantan.

SEBAGAI seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), dia sepatutnya berada di barisan hadapan dalam membanteras jenayah di sempadan apatah lagi berkait kemasukan warga asing secara haram.

Namun hal sebaliknya pula berlaku apabila anggota berpangkat koperal itu pula ditahan selepas didapati membawa lima wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warganegara Thailand di Tanah Merah, Kelantan malam tadi.

Harus diingat, ini bukan sahaja soal kemasukan warga asing tetapi juga membolos kawalan sempadan di waktu COVID-19 yang mempunyai protokol ketat bagi membendung penularan wabak itu.

Dalam satu sidang media di Kota Bharu hari ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, lelaki yang bertugas di Ibu Pejabat PGA Kuantan itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Menurutnya, anggota berusia 33 tahun bersama rakan lelakinya yang merupakan orang awam berusia 28 tahun itu dipercayai mahu menghantar kumpulan warga asing berkenaan ke Lembah Klang untuk bekerja di restoran.

“Dalam kes ini, kita dapati anggota PGA ini pernah bertugas di sempadan dan berhadapan masalah disiplin sebelum ditukarkan ke ibu pejabat,” katanya.

Kata beliau, siasatan awal mendapati kesemua warga Thailand berkenaan dibawa masuk melalui pangkalan haram di sekitar Pasir Mas.

Baca artikel berkaitan: “Duit banyak-banyak nak rasuah malaikat dalam kubur?” Ayob Khan bicara soal integriti

Kita tak akan cover-up salah laku anggota, pegawai – Ayob Khan

“Sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas yang menahan kenderaan terbabit di hadapan sebuah masjid menemukan kesemua wanita berusia 21 hingga 48 tahun dan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun berada dalam kenderaan itu,” jelasnya.

Menurut Shafien, pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan sebahagian warga asing itu sudah tamat tempoh dan ada antara mereka tidak memiliki dokumen.

Beliau berkata, kesemua warga asing ditahan mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak polis sesekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dalam kes sebegini dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas pihak terbabit,” katanya seperti dilapor media.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook Polis Kontinjen Kelantan, anggota berkenaan dan rakannya dimaklumkan telah ditahan reman selama 28 hari di bawah SOSMA.

Turut dirampas wang tunai RM1,276, sejumlah mata wang Thailand, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa datang mengambil kesemua PATI untuk bekerja di sebuah kedai makan milik suspek di Kuantan Pahang, namun terdapat percanggahan maklumat daripada PATI yang dibawa masuk menerusi pangkalan haram di Sungai Golok itu mendakwa akan bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor,” kata hantaran itu.

Kes terhadap kedua-dua suspek disiasat di bawah seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram