SEORANG ibu akhirnya mampu menarik nafas lega apabila syiling 10 sen yang ditelan anaknya hampir seminggu lalu berjaya dikeluarkan pagi kelmarin.
Muhamad Afeef Dayyan Muhamad Rapi, 2, berjaya mengeluarkan syiling itu semasa membuang air besar kira-kira pukul 8 pagi.
Menurut ibu Afeef Dayyan, Nor Aidatul Azua Baharudin, 37, dia sentiasa memantau keadaan anak bongsunya itu dari semasa ke semasa selain tidak dapat mengetepikan perasaan takut serta berdebarnya.
“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya setiap kali anak membuang air besar sehinggalah pagi kelmarin, anak sekali lagi buang air besar dan kelihatan syiling itu keluar sekali bersama najis.
“Tidak dapat digambarkan perasaan gembira kami sekeluarga ketika itu,” katanya hari ini.
Afeef Dayyan dalam kejadian Jumaat lalu dilapor sedang bermain berhampiran mesin basuh ketika bapa dan dua lagi abangnya sedang makan malam manakala ibunya solat kira-kira pukul 8.30 malam.
Tidak lama selepas itu, bapanya mendengar Afeef Dayyan seakan tercekik dan bergegas memeriksa mulut anaknya selepas terlihat dia seperti bermain dengan syiling sebelum itu.
Namun usaha mengeluarkan syiling itu gagal sebelum mereka membawa anaknya ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pemeriksaan X-ray.
Walaupun doktor mengesahkan syiling itu berada dalam perut anak mereka, namun Afeef Dayyan masih aktif bergerk.
Mengulas lanjut Nor Aidatul berkata, walaupun duit syiling berkenaan sudah keluar, namun anaknya perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tengku Azizah Kuala Lumpur.
“Terima kasih kepada masyarakat di luar sana kerana mendoakan anak saya walaupun kita tidak mengenali antara satu sama lain.
“Berkat doa semua, anak saya tidak perlu menjalani pembedahan atau proses sedut untuk mengeluarkan duit syiling itu,” tambahnya.

