Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah serta wang tunai dengan nilai keseluruhan hampir RM 1.17 juta yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

RAHSIA hidup seorang penganggur hidup mewah walaupun tidak bekerja terbongkar dua kediaman mewah miliknya di Jalan Bukit Palma 2, Kajang, Selangor, diserbu pada Selasa lalu.

Serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu membawa kepada penemuan dadah disyaki jenis methaphetamin seberat 1.05 kilogram (kg) dalam bungkusan teh cina.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, serbuan itu selepas pihaknya melakukan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah berpusat di Brickfields, Kuala Lumpur yang dipercayai aktif sejak September lalu.

Selepas maklumat diterima katanya, pihak polis melakukan serbuan pertama di rumah mewah tersebut dan menahan suspek yang 31 tahun.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki berkenaan, kami membuat satu lagi serbuan di unit kediaman di residensi berkenaan pada hari sama.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kami menemui 18 bungkusan dadah dipercayai heroin seberat 8.05 kg serta 3.12 kg dadah jenis methamphetamin yang diletakkan di dalam sebuah bilik di kediaman itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Lei Choo berkata, pihaknya membuat serbuan ketiga di unit kediaman di residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi, Selangor.

“Kami merampas 20 bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 21.1 kg serta 28 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 12.61 kg di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Dalam serbuan keempat pula, kami merampas wang tunai berjumlah RM60,520 di rumah teres dua tingkat di Jalan Taming Jaya, Balakong, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menyewa dua kediaman mewah sebagai tempat penyimpanan dadah yang dibayar pada harga RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Sebahagian daripada dadah serta wang tunai dengan nilai keseluruhan hampir RM 1.17 juta yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.17 juta dan boleh digunakan seramai 91,860 penagih.

“Hasil saringan awal dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) dan tiada rekod jenayah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperolehi serta individu lain yang terbabit dengan sindiket terbabit.