Jais Abdul Karim

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu penyelewengan dgeran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu contoh kes yang terbaik di mana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah disiasat dengan lebih teliti dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Menurut beliau, sebagai sebuah agensi awam, MITRA perlu mempunyai integriti yang baik dan tadbir urus yang cemerlang.

“Masalah di SEDIC (sekarang dikenali dengan nama MITRA) bukanlah satu isu baharu dan telah banyak kali di sebut dalam LKAN.

“Puluhan juta ringgit peruntukan agensi itu sepatutnya mencukupi untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat India dalam negara ini. Sayangnya, ia telah disalah guna dan tidak sampai kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais berkata, dapatan audit LKAN bagi tahun 2017 dengan jelas telah mendapati bahawa prestasi pengurusan agensi ini kurang cekap ditambah pula 84 peratus daripada program yang dirancang tiada bukti pelaksanaannya.

Kata beliau, sebanyak 63 peratus peserta memberi pandangan bahawa mereka masih berada di tahap yang sama kerana tidak dapat mempraktikkan ilmu yang telah diberikan dan program tersebut tidak bermanfaat.

Baca artikel berkaitan: Seleweng geran, 16 pengarah syarikat ditahan SPRM

“Rekod yang dikemukakan oleh agensi ini banyak yang tidak lengkap.

“LKAN telah nyatakan dengan jelas bahawa amalan tadbir urus dan pemantauan terhadap proses penilaian dan pelaksanaan program adalah amat lemah. (Rujuk LKAN 2018 Siri 1),” jelasnya.

Tambah Jais, rakyat Malaysia yang berketurunan India telah banyak memberi kritikan terbuka terhadap agensi ini namun sentiasa tidak dipedulikan.

Justeru katanya, langkah SPRM ini adalah lembaran baharu dalam usaha memulihkan masa hadapan golongan ini dalam memastikan mereka mampu ‘berdiri sama tinggi’ dalam negara ini.

“Peruntukan besar yang telah disediakan kerajaan untuk MITRA adalah dengan jelas bertujuan membantu golongan B40 dan memperkasa bidang pendidikan bagi meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat India.

“Usaha ini mesti ditambah baik dengan memastikan tiada ketirisan dan salah guna kuasa bagi memastikan perkongsian kemakmuran negara yang adil dan saksama menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dapat dicapai,” ujarnya.