Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur GAMBAR: Abd Razak Aid

SEKITAR hujung tahun lalu, nama ‘Datuk Addy Kana’ memang hangat diperkatakan kerana disiasat dalam beberapa kes jenayah melibatkan judi online.

Dia kemudian ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) sebelum dibebaskan oleh mahkamah pada April tahun ini.

Sejak itu, tidak banyak laporan media mengenai Addy Kana yang sebelum ini agak terkenal di media sosial kerana gaya hidupnya dan isteri.

Namun hari ini, nama Addy Kana kembali jadi perhatian apabila kerajaan memohon untuk melucutkan wang bernilai lebbih RM350,000 milik isteri ahli perniagaan itu.

Turut dipohon kerajaan selain melucutkan wang isteri Addy iaitu Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff ialah wang milik seorang lagi individu iaitu Alvin Goh serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemuanya berjumlah lebih RM500,000.

Memetik laporan BERNAMA, notis usul itu difailkan oleh pendakwa raya selaku pemohon secara berasingan pada 29 September lepas dengan menamakan Goh, 33, dan syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 34, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

Dalam notis usul itu, pendakwa raya memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer.

Baca artikel berkaitan: Kes Addy Kana akan disemak semula – Abdul Hamid Bador

Alvin Goh, adik dituduh di mahkamah esok

Pendakwa raya juga memohon untuk melucut hak wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari tahun ini didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini, mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan berhubung status penyiaran notis warta kepada pihak ketiga.

Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Goh diwakili peguam Lim Jin Wen dan Alyaa diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisyam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram