TAK kira siapa, prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 tetap SOP.
Gagal dipatuhi, tindakan menanti walaupun parti politik sekali pun.
Ini seperti mana kompaun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas Barisan Nasional (BN).
Ia susulan apa yang berlaku pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di ibu negara malam tadi berhubung soal penjarakan fizikal.
Menurut Facebook KKM, Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun kepada BN di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Kompaun itu kerana penganjur telah melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi penganjuran majlis sosial.
Menurut gambar yang dikongsikan KKM, kompaun berkenaan melibatkan nilai RM10,000.
Kesalahan yang dinyatakan dalam kompaun itu ialah kegagalan memastikan penjarakan fizikal.
Majlis pelancaran jentera itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pimpinan tertinggi UMNO serta gabungan parti itu termasuk yang berada dalam Kabinet.

