MESYUARAT Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022.
Menerusi satu kenyataan, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini bagi mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan setelah mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik.
“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai situasi sektor pelancongan negara yang menyaksikan pemulihan yang agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa yang memasuki negara ini selain operator sektor ini yang memerlukan masa dan untuk memulakan perniagaan mereka.
“Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat hari ini memutuskan supaya sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan bagi sektor pelancongan,” katanya.
Jelas Muhyiddin, mesyuarat dimula dengan mendapatkan taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkembangan terkini indikator-indikator berkaitan COVID-19.
Secara keseluruhannya kata Muhyiddin, beliau berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai, khususnya dari segi trend penurunan kes-kes positif harian, kes kematian, kemasukan kes COVID-19 kategori 3 hingga 5 ke hospital dan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus dan remaja pada 76.7 peratus pada masa ini.
“Namun kita masih perlu kekal berwaspada dengan terus mematuhi SOP yang ditetapkan sementara Kerajaan meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap dan dos penggalak,” jelasnya.
Baca: Kadar vaksinasi tinggi dorong Malaysia perkenal koridor perjalanan dengan Indonesia – PM
Malaysia, Singapura setuju lancar Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin
Tambah Muhyiddin, mesyuarat juga telah dimaklumkan tentang perkembangan terkini berkaitan penambahbaikan keberkesanan pengesanan kontak atau contact tracing melalui penerapan teknologi yang telah dipersetujui dalam mesyuarat MPN bilangan 2, 2021.
“Penambahbaikan ini sangat penting sebagai salah satu kaedah pengawalan penularan COVID-19 sementara kita membuka kegiatan ekonomi dan sosial menuju fasa endemik.
“Penambahbaikan ini telah bermula secara berfasa dan Majlis bersetuju supaya pelaksanaan secara menyeluruh dibuat selewatnya Januari 2022,” katanya.
Ujar Pengerusi MPN itu, mesyuarat seterusnya diberikan taklimat mengenai kedudukan prestasi sektor dan sub-sektor ekonomi oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Katanya, indikator-indikator menunjukkan prestasi ekonomi pada Suku Tahun Kedua, 2021 masih lagi di bawah paras pra-pandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali sektor pembuatan.
Menurut beliau, mesyuarat juga dimaklumkan bahawa prospek ekonomi negara bagi Suku Tahun Ketiga dan Keempat, 2021 menunjukkan bahawa keadaan ekonomi masih mencabar.
“Oleh yang demikian, bagi mencapai kadar pertumbuhan yang disasarkan bagi tahun 2021, usaha berlipat ganda, pantas, bersepadu dan mengikut keutamaan bagi meningkatkan ekonomi ditekankan oleh Majlis,” katanya.
Lanjutan daripada perbincangan mengenai keperluan tenaga kerja dalam mesyuarat majlis yang lepas, kata Muhyiddin, mesyuarat pada hari ini telah mendapat taklimat berhubung status pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Asing daripada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee.
“Majlis mengambil maklum langkah-langkah penambahbaikan program rekalibrasi yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen yang boleh membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pelbagai sektor ekonomi,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

