BUKAN sahaja comel, malah wajah kacak bayi lelaki ini berjaya membuatkan tulang rusuk warganet bergetar selepas menonton keletah sopan dan tidak banyak kerenah semasa menggunting rambut.
Video yang berdurasi 10 saat itu menunjukkan kecomelan wajah Nik Muhammad Uwais Nik Khairul Anuar ketika rambutnya sedang dipotong dan didandan dengan hanya memakai lampin bayi.
Ia meraih lebih 2.3 juta tontonan dan 143,000 tanda suka sejak ia dimuat naik tidak sampai 12 jam di akaun TikTok milik ibunya @liyanaroses.
Kata Liyana, 30, Uwais yang kini baru berusia 5 bulan itu merupakan anak yang sangat mudah dijaga dan tidak banyak ragam.
“Bila saya ambil tempahan ‘make-up’ kan orang, saya akan tinggalkan Uwais dekat mak saya. Dia okey aja. Kadang tu dia siap tidur,” kongsi Liyana yang merupakan jurusolek sepenuh masa.
Uwais yang dilahirkan di Putra Medical Centre, Sungai Buloh pada Jun lalu merupakan satu-satunya cahaya mata lelaki di dalam keluarga dan merupakan anak yang ketiga.
“Saya ajak daddy dia pergi ke Uptown Kota Damansara untuk potong rambut Uwais. Saya tak mahu potong pendek sangat. Nak yang potongan kemas sebab risau Uwais tak selesa. Dia pun masih budak lagi. Tapi saya minta tukang gunting rambut untuk tidak potong bahagian atas banyak sangat. Daddynya pun ikut sahaja,” ujarnya kepada UtusanTV.
Baca artikel berkaitan: Rakan baik ‘hadiahkan’ iPhone 12 disertai gelak besar, rupa-rupanya…
@liyanaroses ✂️
♬ nhạc nền – TrungBau1992
Kata Liyana dia lebih gemar tukang gunting warga Pakistan kerana potongan yang dilakukan lebih kemas.
“Saya suka sebab mereka mahir dalam teknik potongan rambut ini. Kalau tengok, orang Pakistan ni potong jambang mereka kemas sangat,” ujar Liyana yang kini menetap di Sungai Buloh, Selangor.
Ujarnya, ketika mengetahui dirinya berbadan dua buat kali ketiga, dia teringin sangat supaya diberi rezeki menimang cahaya mata lelaki selepas mempunyai dua orang puteri sebelum itu.
“Anak pertama dan kedua merupakan anak perempuan. Masa saya dapat tahu bakal menimang cahaya mata, saya nak sangat anak lelaki. Jadi saya selalu baca surah Yusuf. Lepas itu saya ada juga bernazar kalau dapat anak lelaki, saya nak bagi sedekah dekat rumah anak yatim. Alhamdulillah semuanya saya dah tunaikan,” kata Liyana dengan gembira.
Liyana yang kini giat menjalankan perniagaan Ayam Korea di kawasan perumahannya turut berkongsi bahawa kecomelan Uwais merupakan gabungan wajahnya dan suami.
“Mak kata bahagian mata dan kening tu banyak mirip saya. Suami pula kata macam mirip belahnya. Saya pun tak tahu. Hidung saya dan suami mancung juga, tapi Uwais dia tak berapa mancung, sikit saja. Orang kata anak lelaki ni banyak ikut mak,” ceritanya sambil ketawa.

Malah, Liyana turut memberitahu bahawa dia merupakan peminat setia cerita Hindustan, Tamil dan Thailand ketika mengandungkan Uwais.
“Masa saya mengandung, saya suka tengok cerita Hindustan, Tamil dan Thailand. Artis yang paling saya minat semestinya Shah Rukh Khan dan Sunny Suwanmethanont,” kongsi Liyana
“Lepas dah viral ni, saya harap akan tersebar kebaikan di sebalik inspirasi nama Uwais iaitu tokoh Islam terkenal Uwais al-Qarni. Nama Uwais tu diberi oleh ibu mentua saya. Pada awalnya terfikir juga mahu letak nama Uwais Khan, tapi suami tak bagi,” selorohnya.
Liyana juga berkongsi kisah bahawa dia dan Uwais pernah terkena jangkitan COVID-19 pada bulan Ogos lalu.
“Kami kuarantin dekat rumah sahaja sebab masa tu memang kes jangkitan tengah naik. Cuma sekarang, bila saya sejuk sikit akan mengalami sakit dada. Kalau tengah buat kerja berat sikit akan mula tercungap-cungap,” tambahnya.
Perkongsian video kecomelan Uwais ini telah menerima lebih daripada 3,000 komen oleh netizen yang rata-ratanya memuji kekacakannya dan ada yang sempat bergurau mahu menjadikan Uwais sebagai menantu dan jodoh mereka.

“Patutlaa aku tak kahwin lagi. Jodoh aku masih bayi,” komen @angxhhhhhh
“Bakal menantu. Alhamdulillah besan, Ye berapa hantaran ya ni. Saya tempah dulu,” usik @#[email protected]@min#
“Kecik-kecik dah handsome,” tulis @azilaali85
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare