ISU tambakan laut terus menjadi tumpuan bagi parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, terutama dalam kalangan pembangkang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang projek tambakan laut di negeri ini tidak seharusnya berlaku sehingga menjejaskan nasib golongan nelayan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perlu ada jaminan diberikan kepada golongan berkenaan kerana projek seperti itu akan mengancam punca utama mata pencarian mereka.

“Kita dah sebut, tidak boleh ada projek, pasir ke atau penambakan laut ke yang menjejaskan kedudukan nelayan. Kalau dia buat, dia mesti ada jaminan untuk nelayan.
Saya tengok di Port Dickson, Hotel Alexis dia extend sedikit (ke kawasan nelayan). Itu dia runding dengan nelayan, ganti rugi dengan nelayan.
“Buat (projek) jeti semua tu kena buat. Tapi kalau kepentingan itu hanya demi keuntungan, (itu menunjukkan) dia tak peduli masalah tempatan,” katanya ringkas ketika ditemui media di Klebang, di Melaka Tengah hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan golongan nelayan yang tidak mendapat sebarang pampasan daripada projek berkenaan.
BERITA BERKAITAN Lokman Adam pula buat laporan ke SPRM isu tambak laut Melaka
Awal tahun ini, kira-kira 300 nelayan di sekitar perairan Tanjung Kling dan Klebang, Melaka semalam menyuarakan keresahan terhadap projek penambakan laut serta pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter di Tanjung Bruas.
Kata mereka, projek berkenaan hanya akan mengakibatkan kawasan penangkapan ikan semakin mengecil selain berlaku pencemaran laut.
Memetik laporan Astro Awani, Anwar berkata, projek berkenaan akan menjejaskan komuniti nelayan dari empat jeti iaitu Tanjung Kling, Klebang, Balik Bukit, Pantai Kundur dan Sungai Lereh.
Rata-rata nelayan ketika ditemui turut menyuarakan kebimbangan dan kata mereka, kehadiran terlalu banyak kapal berhampiran jeti nelayan menyebabkan pukat milik mereka rosak ketika menangkap ikan.
Dalam pada itu, media melaporkan Calon Ketua Menteri Pakatan Harapan Adly Zahari sebagai berkata, mereka akan mengkaji semula projek berhubung pasir dan tambakan laut yang sedang berjalan, sekiranya PH memenangi PRN Melaka.
“Ini termasuklah mengkaji semula keperluan M-Wez (Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka) kerana projek tersebut turut melibatkan pembangunan di kawasan Selatan Melaka…
“… yang merupakan lokasi perikanan termasuklah penternakan kupang yang menjadi sumber pendapatan para nelayan,” katanya lagi. – UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

