Ismee Ismail ketika hadir di mahkamah pada 2019./ Gambar fail Bernama

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah US$3 bilion, jika syarikat itu gagal berbuat demikian.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata demikian ketika merujuk kepada surat sokongan kerajaan kepada 1MDB bertarikh 14 Mac 2013 yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Beliau berkata surat itu  menyatakan kerajaan Malaysia telah mengambil maklum bahawa anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) akan menerbitkan bon sebanyak US$3 bilion yang akan dibayar sepenuhnya pada 2023.

“Dokumen (surat) ini menjelaskan, sekiranya peminjam 1MDB GIL tidak dapat membayar atau terdapat kekurangan dalam membayar hutang ini, syarikat 1MDB akan memberikan bantuan kewangan untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang itu.

“Selain itu, sekiranya 1MDB gagal untuk membayar hutang berkenaan, maka kerajaan Malaysia akan mengambil tanggungjawab itu untuk membiayai 1MDB untuk membayar hutang ataupun secara langsung membayar hutang itu sehingga selesai.

“Dalam erti kata lain, surat sokongan ini adalah seperti sokongan kuat dari kerajaan Malaysia untuk membayar US$3 bilion bon berserta ‘interest’ yang diwujudkan oleh 1MDB melalui 1MDB GIL,” katanya sambil menambah surat sokongan itu dikeluarkan oleh kerajaan dengan kadar yang sangat cepat.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Ismee yang membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka berkata, kelulusan untuk membuat ‘fundraising’ sebanyak US$3 bilion telah dicapai pada Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) bertarikh 12 Mac 2013 manakala surat sokongan dikeluarkan pada 14 Mac 2013.

Saksi itu berkata, hampir kesemua keputusan yang dicapai oleh 1MDB bagi menjayakan ‘fundraising’ US$3 bilion itu adalah melalui DCR dan Special Right Redeemable Preference Shareholders Resolution (SRR).

Baca: Jho Low berada di sebalik tabir 1MDB – Saksi

Bon US$3 bilion tidak diguna biayai usaha sama 1MDB, tapi buat bayar hutang, derma – Saksi

“Sepatutnya, sesuatu keputusan yang ingin dicapai boleh dibuat sama ada melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) atau melalui DCR dan SRR. Bagaimanapun sekiranya sesuatu keputusan diperlukan dengan kadar segera maka lazimnya ia akan dibuat melalui DCR dan SRR.

“Saya mengesahkan bahawa, kuasa Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB adalah melangkaui BOD 1MBD berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) berkaitan urusan kewangan dan pelaburan syarikat yang melibatkan kepentingan negara hendaklah dibuat keputusan oleh PM (Najib),” kata Ismee.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram