Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan lagi untuk diulas-ulas dan dibangga-bangga.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, BN telah mengembalikan kestabilan dan memulihkan demokrasi di Melaka dan fasa seterusnya ialah mengurus kemajuan negeri tersebut dan memakmurkannya.

“Banyak yang telah diperkatakan sejak kemenangan BN di Melaka. Saya tidak berhasrat untuk mengulasnya lagi. Bagi saya, ini adalah masa untuk bekerja. Bekerja dengan lebih kuat.

“Kemenangan yang dikecapi mesti dilunaskan segera dengan tanggungjawab memulihkan ekonomi, mencipta pekerjaan, dan menambahbaik tadbir urus Kerajaan.

“Setelah tiga tahun dibazirkan oleh pergolakan politik, ini adalah saat genting bagi BN untuk terus memacu ke hadapan dengan pantas dan bingkas,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Mohamad, setelah kestabilan politik yang telah BN terima di Melaka, kemakmuran rakyat negeri Melaka mesti diterjemahkan melalui kepesatan pembangunan dan kesejahteraan hidup.

Katanya, Melaka memerlukan lonjakan baru di dalam sektor ekonomi dan pelancongan Melaka wajar diberi nafas baru dengan model perniagaan yang inovatif.

“Idea untuk menjadikan Melaka sebuah kota utama untuk pekerja lepas (freelancers), digital nomad, dan pengiat industri kreatif wajar diberikan keutamaan.

“Melaka boleh menjadi destinasi bagi pekerja lepas (freelancers) dan industri kreatif utama Malaysia,” jelasnya.

Menurut beliau, berasaskan kekuatan Melaka dalam industri pelancongan kesihatan, anjakan seterusnya ialah membangunkan Melaka sebagai wilayah ekonomi berorentasikan kesihatan yang utama di negara ini.

Katanya, melalui ikhtiar sebegini, sektor seperti pembuatan produk berkaitan kesihatan, latihan kesihatan, serta pengembangan industri farmaseutikal boleh menjadi sektor keberhasilan baru.

“Kedudukannya yang strategik di Selat Melaka mesti digunakan sebaik mungkin bagi menjadikan Melaka sebagai gerbang baru bagi kemasukan industri, pelancong, pekerja, dan pelajar dari Sumatera.

“Memesatkan pertumbuhan ekonomi akan mencipta pekerjaan. Rakyat yang mempunyai pekerjaan akan akhirnya boleh mengecapi kesejahteraan asalkan kekayaan yang tercipta itu diagihkan dengan saksama,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram