Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat laporan polis memohon untuk menyiasat sekiranya terdapat cubaan sengaja menyembunyikan bahan bukti berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Menurut Najib, rakyat Malaysia terkejut dengan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu bahawa aset sebanyak RM65 juta dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB telah dipulangkan Kerajaan Singapura.

Aset tersebut pula kata Najib, dipulangkan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Najib mendakwa, media turut melaporkan sebanyak RM700 juta telah dipindahkan ke akaun bank yang mempunyai kaitan dengan bekas Gabenor BNM itu sejak tahun 2013 hingga 2017.

Lebih mengecewakan, Najib mendakwa tiada mana-mana agensi penguatkuasaan pernah mendedahkan kepadanya berhubung hubungan keluarga bekas Gabenor BNM itu dengan Jho Low atau urusan membabitkan kedua-duanya.

“Ini kerana saya mempercayai beliau sepenuhnya semasa tempoh saya menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang lebih mengecewakan adalah pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dua hari lalu bahawa beliau menyedari transaksi sedemikian berlaku semasa tempoh beliau memegang jawatan.

“Selain itu, jawapan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Isnin lalu bahawa polis telah mengetahui perkara ini sejak sekurang-kurangnya tahun 2019 semasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tetapi masih menyiasat sehingga kini.

“Maklumat sedemikian tidak pernah diberikan kepada saya atau pasukan guaman saya untuk digunakan dalam pembelaan di mahkamah walaupun boleh menjadi bahan bukti dalam kedua-dua kes SRC International dan 1MDB,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Thomas, kerajaan mohon batal saman Najib berkaitan skandal 1MDB

Najib tiba di balai polis berkenaan pada pukul 11.50 pagi dan keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa seorang lagi saksi pendakwaan dalam kes SRC International turut telah menerima lebih RM85 juta dana dikaitkan terus kepada 1MDB.

“Sekali lagi saya dan pasukan guaman tidak dimaklumkan tentang perkara ini walaupun individu ini memainkan peranan penting dalam kes SRC International.

“Oleh itu, saya membuat laporan untuk meminta polis menyiasat jika terdapat percubaan yang disengajakan bagi menyembunyikan bahan bukti daripada saya dan semua rakyat Malaysia oleh individu penting dalam Pejabat Peguam Negara dan SPRM yang dilantik semasa pentadbiran PH,” jelas beliau.

Minggu lalu, SPRM mengesahkan Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil berjumlah AS$864,813.27 (RM3.6 juta) kepada kerajaan Malaysia.

SPRM dalam kenyataan turut memaklumkan, Kerajaan Singapura sebelum ini juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 (RM64 juta) kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik suami Zeti iaitu Datuk Dr. Tawfiq Ayman dan bekas pegawai kanan firma NTUC, Samuel Goh Sze-W.

Isnin lalu, Wan Junaidi dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu, polis dan pihak berkuasa hanya tahu dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami Zeti pada tahun 2019.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram