PROGRAM 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, disambut baik oleh rakyat.
Ini kerana, pelbagai program dan aktiviti diadakan sepanjang ia berlangsung dari 9 hingga 12 Disember ini.
Antara yang menjadi tumpuan adalah kios bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Seorang pengunjung, Badawi Bakri, yang datang dari Pahang berkata, peluang disediakan oleh kerajaan melalui program ini sangat dinantikan apatah lagi diskaun yang diberikan sehingga 80 peratus.
“Saya sangat berpuas hati dengan pameran yang terdapat dalam program ini termasuklah daripada pihak swasta dan kerajaan.
“Paling teruja adalah kios bayaran saman yang memberikan diskaun dan sebab itulah saya datang untuk membayar saman secepat mungkin,’’ katanya kepada UtusanTV.
Sementara itu, Logeetha Suras Naidu, 21 bersama rakannya Siti Nursyafiqah Aina Mohd Tajuddin, 22, yang merupakan pelajar dari Universiti Selangor (Unisel) mengatakan, terdapat program menarik disediakan dan ia memberi inspirasi untuk rakyat mengetahui lebih lanjut tentang Aspirasi Keluarga Malaysia.
“Selama ini kami yang mendengar sahaja, tetapi hari ini kami berada di sini untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai Keluarga Malaysia,’’ kata Siti Nusyafiqah.
Bagi Logeetha pula, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia dilihat memberi peluang kepada orang ramai yang mencari pekerjaan menerusi temuduga secara jumpa terus yang disediakan.

GAMBAR: Abd Razak Aid
Baca artikel berkaitan: Prestasi Jemaah Menteri capai 90 peratus dalam 100 hari – PM

Dalam pada itu, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurammar Salihin Noordin, 21, berkata, dia hadir ke program ini untuk mendapatkan maklumat mengenai kerjaya di masa hadapan.
“Saya mencari pengalaman untuk mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat tentang kerjaya, berkomunikasi dengan penemuduga untuk mendapatkan maklumat. Pameran kementerian yang saya lihat sangat menarik adalah gerai pameran Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.
Tinjauan UtusanTV ke gerai pameran kerjaya Kementerian Pertahanan Malaysia, Pegawai Staf Dua Pendidikan dari Cawangan Tenaga Kerja, Mejar Noorasma Ahmad berkata, dalam pameran kerjaya ini pihak memberi fokus kepada pengambilan pegawai baru Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain peluang kerjaya sebagai perajurit dalam tiga sektor ATM, udara, darat dan laut.

GAMBAR: Abd Razak Aid
“Anda semua dijemput untuk menyahut cabaran menyertai pasukan tentera. Mereka yang mempunyai kelulusan peringkat ijazah sangat dialukan untuk mengisi jawatan pegawai tentera dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga digalakkan berbuat demikian sebagai perajurit,’’ katanya.
Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyediakan 31 gerai pameran kementerian, selain gerai usahawan.
Dalam Karnival Pekerjaan Keluarga Malaysia, sebanyak 70 majikan daripada pelbagai industri dan 10,000 jawatan kosong dalam pelbagai sektor seperti pengambilan Angkatan Tentera Malaysia, Profiling dan Kaunseling Kerjaya.
Turut diadakan aktiviti persembahan kebudayaan, Malam Aspirasi Seni dan sukan rakyat diadakan bermula hari ini hingga 12 Disember.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

