PASUKAN Malaysia meraikan gol jaringan Safawi Rasid dalam perlawanan Piala AFF hari ini.

MALAYSIA meneruskan aksi cemerlang dalam aksi kedua perlawanan Kumpulan B Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura hari ini apabila menewaskan Laos 4-0 dalam satu perlawanan yang menceriakan peminat bola sepak tempatan.

Safawi Rasid menjadi wira negara apabila menjaringkan hatrik dengan dua daripada gol tersebut dijaringkan dalam separuh masa pertama.

Pasukan Laos yang berusaha merapatkan jaringan tidak dapat menahan serangan demi serangan daripada pasukan Harimau Malaya yang seterusnya menghukum pasukan tersebut dengan jaringan lebih besar.

Safawi Rasid

Ketika di awal permainan, Malaysia mendahului Laos 1-0 pada minit ketujuh menerusi jaringan Safawi Rasid yang kemudian menggandakan kedudukan buat Malaysia menerusi tandukan pada minit ke-34 yang mana kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama.

Shahrul Saad pula menjaringkan gol ketiga skuad Tan Cheng Hoe pada minit ke-78 dan gol ketiga Safawi pada minit ke-80 memastikan kemenangan pasukan negara.

Dalam perlawanan hari ini, pengendali negara Tan Cheng Hoe membuat perubahan taktikal dengan membariskan rangkaian tonggak tempatan di jentera depan.

Cheng Hoe merehatkan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula yang hanya dimasukkan di minit akhir perlawanan dan sebaliknya mempertaruhkan penyerang muda negara yang beraksi di Liga Belgium, Luqman Halim Shamsudin diberi tanggungjawab dari awal.

Selain Luqman, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim ini, Arif Aiman Hanapi turut diberi peluang dalam kesebelasan utama dan merehatkan Akhyar Rashid yang beraksi cemerlang ketika menentang Kemboja Isnin lalu.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan juara bertahan Vietnam di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Kemenangan berharga ke atas pasukan di tangga ke-185 dunia itu sudah semestinya memberikan suntikan motivasi buat Harimau Malaya apabila berdepan dengan juara bertahan tersebut sebelum menamatkan saingan Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Dis, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Keputusan penuh

  • Malaysia (4) – Laos (0)
  • Penjaring
    Safawi Rasid (7′ 34′ 80′), Shahrul Saad 78′

Sementara itu, Indonesia memulakan cabaran Piala AFF 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 4-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan B di venue sama, malam ini.

Pemain pertahanan, Rachmat Irianto muncul wira ‘Sang Garuda’ apabila meledak dua gol pada minit keempat dan ke-33 manakala ketua pasukan Evan Dimas dan pemain sayap Ramai Rumakiek turut menemui sentuhan jaringan, masing-masing pada minit ke-17 dan ke-54.

Pasukan Kemboja yang menampilkan aksi terpuji dengan corak permainan pantas mereka pula memperoleh gol menerusi tandukan pemain pertahanan Yue Safy pada minit ke-37 dan tonggak serangan Prak Mony Udom pada minit ke-60.

Malaysia kini unggul di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata, diikuti Indonesia yang mengatasi Vietnam menerusi perbezaan jaringan walaupun berkongsi tiga mata manakala Kemboja dan Laos, masing-masing di tangga keempat dan kelima tanpa sebarang mata.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram