Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan yang maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium dekat Gombak, ibu negara bulan lepas./Gambar FB BERNAMA

PADA 17 November lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun tujuh bulan ditemui maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, dekat Gombak.

Ketika kejadian dilaporkan, ibu kanak-kanak itu dikatakan berada di luar rumah kerana mempunyai urusan.

Berdasarkan laporan media ketika itu, pihak polis menjalankan siasatan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, kerana ada kaitan dengan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Siasatan awal polis juga mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap yang tidak dipasang jeriji.

Dan selepas hampir sebulan insiden tersebut, ibu kepada kanak-kanak itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini.

Wanita berusia 24 tahun itu didakwa atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya berusia lima tahun tujuh bulan yang maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium dekat sini, bulan lepas.

Dia yang memakai tudung biru dan berjubah hitam ketika hadir di mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Baca: Tragedi berulang, kanak-kanak ditinggal sendirian maut jatuh kondo

Lagi kanak-kanak maut jatuh kondo, kali ini budak lelaki 5 tahun

Menurut laporan Bernama, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu telah mengabaikan dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa di sebuah unit kondominium di Jalan Lebuhraya Selayang-Kepong, Gombak antara 9.45 pagi hingga 10.48 pagi, pada 17 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun.

“Saya seorang suri rumah dan tidak mampu membayar apa-apa (jamin), tambahan pula suami saya bekerja sebagai ‘rider’ (penghantar) dengan pendapatan sebulan tidak lebih RM2,000. Kesihatan saya juga tidak begitu stabil selepas kehilangan arwah (mangsa) anak saya,” kata tertuduh dalam nada sebak.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan keluarga mangsa serta memerintahkan ikat jamin dibatalkan sekiranya tertuduh melanggar syarat jaminan.

Mahkamah menetapkan 13 Januari 2022 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram