Ambil maklum kebimbangan nilai kompaun mungkin terlalu tinggi

Dari Penulis

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan perbincangan lanjut bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan maklum balas berhubung pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Menurut Khairy, pada perbincangan tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Anwar bersetuju bahawa pindaan ini amat penting untuk membantu kerajaan menangani COVID-19 dan pandemik lain yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Katanya, respons serupa turut diberi kedua-dua Whip Kerajaan dan Pembangkang berhubung keperluan pindaan tersebut.

“Walau bagaimanapun, KKM juga mengambil maklum akan kebimbangan kedua-dua pihak dan keperluan untuk pindaan ini dimurnikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga.

“Pemurnian ke atas pindaan bertujuan melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah pihak dan pada masa yang sama menambah baik akta sedia ada untuk mencegah dan mengawal pandemik serta wabak dengan lebih berkesan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Justeru, kata Khairy, mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, KKM akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342.

“RUU Pindaan Akta 342 seterusnya akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada Isnin, 20 Disember sebelum dibentangkan bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada hari yang sama,” jelasnya.

Baca: Lagi kes Omicron dikesan, penerima Sinovac kena ambil dos penggalak untuk kekal status vaksinasi lengkap – KJ

“Takkanlah kita nak denda RM10,000 tak pakai pelitup muka”

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berakhir hari ini ditambah sehari pada Isnin ini bagi membolehkan RUU Akta 342 dibincang dan diputuskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dalam pemaklumannya berkata penambahan sidang itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis selaras Peraturan Mesyuarat 11 (2) Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat 11 (2) menyatakan antaranya Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu, tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua hari ini.

Khairy kemudian bangkit dan memaklumkan rang undang-undang berkenaan bagi bacaan kali kedua dan ketiga ditangguhkan pada Isnin berdasarkan Peraturan Mesyuarat 62 Dewan Rakyat.

Peraturan Mesyuarat 62 menyatakan: “Ahli yang menjaga sesuatu rang undang-undang boleh berdiri di tempatnya dan minta menarik balik rang undang-undang itu, atau hendak menangguhkan peringkat satu lagi rang undang-undang itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai pada perkara rang undang-undang itu dalam Aturan Urusan Mesyuarat.”

Dalam pada itu, pemakluman Azhar berhubung perkara berkenaan mengundang pertikaian beberapa Ahli Parlimen antaranya Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang berkata keputusan berkenaan mengganggu program Ahli Parlimen yang telah diatur.

“Kami Ahli Parlimen dah atur program pergerakan peribadi kami, program di kawasan Parlimen untuk bertemu rakyat, tiba-tiba berlaku sebegini, ini satu perkara yang saya kesal. apa salahnya kalau tangguh, dibawa rang undang-undang ini ke sidang akan datang?,” soalnya.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang kemudian bangkit menjelaskan penangguhan perbahasan rang undang-undang berkenaan dibuat bukan berdasarkan satu pihak sahaja malah telah dipersetujui dalam sesi libat urus yang diadakan pagi tadi.

“Sepanjang pagi dari tengah hari tadi memang ada proses libat urus yang melibatkan Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan pimpinan parti, kemudiannya merujuk kepada Perdana Menteri tentang keperluan untuk menangguh bagi memberi ruang perbincangan dengan semua pihak.

“Ini supaya jawatankuasa (pemilih) atau ‘select committee’ dapat bersidang sebelum dikemukakan beberapa cadangan pindaan yang lain. Ini disebabkan pandangan kita tentang beberapa peruntukan harus dipinda secara total (menyeluruh) terutama melibatkan kompaun,” katanya.

Justeru, beliau berkata Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan bersidang membincangkan mengenai pindaan Akta 342 pada 8 pagi Isnin ini, sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula 10 pagi hari sama.

“Sekiranya semua hal penting disepakati, maka kita mungkin menimbangkan untuk menyokong dan kalau beberapa perkara substantif itu tidak dipersetujui, kita masih ada ruang untuk membangkang atau menolak usul itu.

Jadi, saya nak jelaskan saya ambil kesempatan ini bahawa ini bukan keputusan sebelah pihak setelah ambil pendirian untuk mempertikai beberapa peruntukan yang (hendak) dipinda,” katanya.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini, manakala kompaun sehingga maksimum RM1 juta bagi pertubuhan perbadanan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Proton S70, pembiayaan fleksibel pacu transformasi industri teksi negara – Loke

KERAJAAN memperkenalkan pendekatan baharu bagi mentransformasikan industri teksi negara menerusi penggunaan Proton S70 sebagai teksi generasi baharu, penyediaan pakej...

More Articles Like This