SEORANG lelaki berperwatakan wanita dijatuhkan hukuman penjara lima bulan kerana melindungi individu etnik Rohingya dikenali sebagai Long Tiger, bulan lalu.

Memetik laporan Harian Metro, lelaki berperwatakan wanita itu menerima hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Rusli Mat, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Rusli didakwa melindungi Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada pukul 3.15 petang 28 Disember lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah yang lari daripada jagaan atau yang diperintah supaya ditangkap.

Rusli boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Baca artikel berkaitan: Long Tiger kini direman di Penjara Sungai Udang

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim memohon mahkamah meringankan hukuman kerana ia merupakan kesalahan pertama Rusli.

Pada masa yang sama, tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

28 Disember lalu, Long Tiger berjaya ditahan selepas menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.

Ketika ditahan kira-kira pukul 3 petang, Abdul Hamim, 33, cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung tetapi tergelincir lalu jatuh di lantai dapur.

Selain Long Tiger, polis turut menahan penghuni rumah terbabit yang juga seorang pondan berusia 40-an kerana didapati cuba melindungi lelaki berkenaan.

Long Tiger pada 15 Disember lalu jam 11.55 pagi meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraan bermula.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahanan itu melarikan diri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram