Datin Seri Rosmah Mansor. - GAMBAR: Abd Razak Aid

PIHAK pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di Sarawak memutuskan tidak memanggil suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil Najib, yang dijadual memberikan keterangan hari ini.

“Selepas perbincangan pada Sabtu hingga lewat petang Ahad, pihak pembelaan memilih untuk tidak memanggil Datuk Seri Najib sebagai saksi pembelaan ketiga.

“Kami juga sedang menganalisis soal balas (Rosmah) oleh pihak pendakwaan dan kami percaya keterangan daripada saksi ketiga (Najib) hanya bersifat menyokong dan sifat menyokong telah pun dibuktikan oleh pihak pembelaan.

“Atas alasan ini, kami perlu menyusun semula strategi dan kami membuat keputusan untuk tidak memanggil Datuk Seri Najib. Saya memohon maaf kepada Yang Arif. Saya tahu Yang Arif mementingkan masa mahkamah, saya menerima tanggungjawab atas perkara ini,” kata Jagjit.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, keputusan untuk memanggil atau tidak memanggil saksi terserah kepada pihak pembelaan.

“Terpulang kepada pembelaan untuk membuat keputusan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Rayuan Rosmah batal kes rasuah berkaitan solar, gugur Sri Ram didengar 24 Mac

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata beliau menghargai permohonan maaf daripada pihak pembelaan.

Jagjit kemudian memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini dan minggu ini kerana saksi pembelaan kedua, yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, kini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah dan hanya boleh memberi keterangan pada 4 Februari.

Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan ke 4 Februari.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram