Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abd Karim.

Soalan Lazim (FAQ) Malaysia Corruption Watch (MCW) berkenaan isu Tan Sri Azam Baki.

APA PRINSIP MCW DALAM KES INI?

MCW sebagai Sahabat SPRM bersedia mempertahankan institusi SPRM yang sedang diserang oleh golongan perasuah dan penyokong mereka. Institusi Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah institusi yang paling penting untuk dipertahankan. Sebagai pertubuhan yang telah menjelajah dan mengkaji ke beberapa buah negara, kami dapat melihat dengan jelas strategi untuk seorang ketua diserang (dibunuh karektor) dahulu dalam usaha untuk meruntuhkan suatu institusi penguatkuasaan aktif, tidak berkompromi dan agresif seperti SPRM. Matlamat tersirat penubuhan MCW yang selaras dengan abang kita di Indonesia (ICW) wajar dibaca dan difahami oleh semua ahli dan para pejuang antirasuah Malaysia yang menyokong MCW. Seseorang penjawat awam hanya bersalah setelah disiasat dan dibicarakan, bukanlah hanya sekadar perbicaraan di media sosial seperti sekarang ini.
Telah beberapa kali Ketua Pesuruhjaya SPRM ditukar atas agenda politik sejak 5 tahun lepas. Trend ini harus dihentikan…

APAKAH PANDANGAN ASAS MCW TERHADAP BELIAU?
Kami telah kenali beliau sejak tahun 2017 dan sering melihat ketegasan serta kemahiran yang tinggi dalam hal berkaitan penyiasatan. Beliau cukup ‘sharp’ dalam memberi pelbagai nasihat dan pandangan bernas kepada MCW. Tan Sri Azam Baki (TSAB) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di atas cadangan KPPA / KSN dan YAB PM pada ketika itu setelah melalui pelbagai tapisan paling ketat dimana beliau adalah antara pegawai yang paling kanan di SPRM ketika itu. Beliau secara konsisten bersama pelbagai NGO dan MCW pada setiap tahun dalam pelbagai program pendidikan antirasuah yang berkaitan. Video ucapan ada di laman FB – Malaysia Corruption Watch – MCW.

KENAPA MCW ANDAIKAN KES INI SEBAGAI PEMBUNUHAN KAREKTOR / AGENDA POLITIK KEATAS BELIAU?
Beliau buka akaun transaksi saham pada 2009 dan transaksi terakhir ini berlaku pada tahun 2016. Musuh-musuh politik beliau menyimpan perkara ini dan ‘campakkannya’ pada penghujung 2021 kerana melihat beliau semakin tegas dan tidak mahu kompromi dalam beberapa kes yang berkaitan ahli politik pembangkang. Hal ini menjadi bertambah nyata apabila blok politik tertentu telah membuat kenyataan jelas yang mendesak agar beliau digantung tugaswalaupun siasatan belum selesai. Isu yang tidak terlalu kompleks ini sengaja dibesar-besarkan dengan niat jahat yang cukup jelas dan nyata, Unsur teori konspirasi terlihat jelas.

BAGAIMANAKAH KES INI BOLEH DISELESAIKAN DENGAN KAEDAH TERBAIK?
Kerajaan telah menetapkan undang-undang pemantauan SPRM menerusi Perlembagaan Negara yang cukup jelas. Terdapat lima buah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam SPRM sebagai mekanisma semak dan imbang SPRM secara menyeluruh menurut Akta SPRM 2009 dan anggotanya bukanlah pegawai SPRM serta mempunyai integriti dan reputasi yang cukup tinggi dikalangan masyarakat awam. Ahli-ahli Jawatankuasa ini adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh Menteri yang berkaitan.
MCW mencadangkan agar salah satu Jawatankuasa tersebut iaitu Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM untuk melaksanakan tugasan mereka dalam menyelesaikan hal ini dengan segera.

APAKAH BELIAU MENDAPAT SOKONGAN PENUH WARGA SPRM?
Berdasarkan beberapa pos di media sosial, para pegawai SPRM kelihatan sedang berdukacita akibat isu ini dan amat menyakini integriti TSAB. Beberapa pegawai kanan SPRM telah memberi kenyataan yang nyata dan jelas menyokong beliau kerana mereka juga akan menjadi mangsa yang seterusnya jika perkara ini tidak dihentikan.
Mereka pastinya sedar tentang rintangan dan ranjau berduri ini dalam melaksanakan tugasan menjaga maruah dan amanah negara.

APAKAH FUNGSI SC – SURUHANJAYA SEKURITI DALAM HAL INI?
Mereka sewajarnya menubuhkan pasukan penyiasat dengan segera tanpa perlu menunggu laporan atau arahan dari mana-mana pihak. Kes TSAB adalah hal yang ’straight forward’ berkaitan dengan peraturan dan undang-undang SC yang sedia ada. Pasukan penyiasat itu akan dapat menyelesaikan kes ini dengan cepat dan mudah dengan segera bertemu beliau bagi mendapatkan segala maklumat yang lengkap.

ADAKAH PEMBELIAN SAHAM DALAM KES INI MENGIKUT UNDANG-UNDANG?
Sebagai seorang pegawai penguatkuasa yang berintegriti tinggi, MCW yakin dan percaya beliau telah mengikut segala lunas undang-undang yang ada dan menyimpan segala dokumen yang berkenaan. Kami yakin beliau dengan senang hati akan membentangkan segala dokumen tersebut kepada pasukan penyiasat yang bertemu beliau nanti.

ADAKAH TSAB TELAH MENGISTIHARKAN PEMBELIAN TERSEBUT KEPADA MAJIKAN ATAU PEGAWAI ATASAN BELIAU?
TSAB telah mematuhi peraturan ini dan mengistiharkan segala saham serta harta beliau secara konsisten pada setiap tahun kepada pegawai atasan beliau sebagaimana yang termaktub dalam peraturan perkhidmatan awam.

DARI MANAKAH SUMBER WANG PEMBELIAN SAHAM TERSEBUT?
Wang yang digunakan dalam transaksi ini adalah wang milik adik beliau. Adik beliau menggunakan akaun beliau bagi membeli saham tersebut. Jumlahnya tidak lebih dari RM 600,000 sahaja kerana harga saham tersebut hanyalah 30 sen sahaja. Adik beliau itu memiliki perniagaan IT yang sah dan tidak terlibat dengan mana-mana projek kerajaan serta dana pembelian datanya dari sumber yang sah.

FAKTA DAN JAWAPAN – KENAPAKAH INDIVIDU YANG MENDEDAHKAN KES INI DI SAMAN OLEH TSAB?
Individu tersebut sepatutnya lebih memahami undang-undang pemberi maklumat di Malaysia kerana dia bertugas sebagai penyelidik / wartawan penyiasat di sebuah NGO antirasuah seperti juga AJK Panel Konsultasi tersebut yang telah meletak jawatan tersebut. Sikap tuli mereka berkenaan undang-undang ini amat mendukacita dan memberikan persepsi bahawa mereka bersekongkol dengan perasuah politik yang sedang disiasat SPRM. Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas berkenaan kesalahan fitnah dan penyebaran berita palsu.
MCW menyokong penuh langkah TSAB menyaman sebagai pengajaran. Ahli-ahli MCW sendiri telah menjalani pelbagai latihan dalam usaha menjadi pemberi maklumat yang bijak dan berkesan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika hadir mengadakan sidang media di Putrajaya, 5 Januari lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca: Abu Zahar serah kedudukan kepada Agong

Kes Azam Baki: Beri peluang siasatan dijalankan, tidak wajar hukum melalui perang media – Faizal

ADAKAH PEMBELIAN SAHAM ATAU PERTUKARAN SAHAM ANTARA ADIK BERADIK (DENGAN PENGETAHUAN DAN KEBENARAN MASING-MASING) MERUPAKAN SATU KESALAHAN UNDANG-UNDANG?
Kelonggaran bersyarat dengan jelas telah dinyatakan dalam peraturan tersebut. Contoh kes yang diviralkan di media sosial tidak relevan kerana ianya adalah kes yang melibatkan pemindahan saham tanpa pengetahuan penama tersebut. Kami mencabar pihak yang menggunakan ‘point’ ini untuk tampilkan memberikan undang-undang / akta yang lebih jitu.

APAKAH TSAB MEMBAYAR CUKAI PENDAPATAN BERKAITAN SAHAM TERSEBUT?
Sudah pasti beliau telah menguruskan hal ini dengan teliti dan berdisiplin. Tanyalah LHDN.

KENAPA TSAB TIDAK MEMBENTANGKAN SEMUA DOKUMEN KES INI KEPADA AWAM?
Tidak ada peraturan atau peruntukan undang-undang yang menyatakan pendedahan ini perlu atau wajib dilakukan. Beliau telah pun istiharkan maklumat ini kepada majikannya dan bentangkan kepada pasukan penyiasat yang berkenaan sahaja.

PERLUKAH TSAB BERCUTI REHAT UNTUK TIDAK MENGANGGU SIASATAN?
Beliau telah beri semua kerjasama kepada Jawatankuasa dalaman SPRM serta agensi penguatkuasa yang berkaitan. Banyak kes rasuah terkini yang perlu beliau uruskan bersama para pegawai SPRM dalam usaha memastikan tindakan diambil segera. MCW telah sarankan agar beliau jangan tunduk dengan tekanan ini!

ADAKAH PENJELASAN LANJUT TSAB DI KHALAYAK AWAM BOLEH MENYELESAIKAN KES INI?
Penjelasan ini tidak perlu. Lebih banyak perkara akan dibangkitkan oleh musuh beliau dan penyokong mereka. TSAB perlu fokus dengan pelbagai kes yang sedang disiasat SPRM. Terus buat tangkapan dan pendakwaan yang perlu dengan segera. Jangan buang masa melayan komen yang tidak berfaedah…

SIAPAKAH YANG AKAN UNTUNG JIKA TSAB DAPAT DIJATUHKAN KERANA ISU INI?
Sudah semestinya para PERASUAH terutamanya ahli politik yang sedang disiasat akan bersorak riang dan ria. Kepakaran dan pengalaman 37 tahun beliau dalam bidang penyiasatan akan terbazir begitu sahaja.

ADAKAN TSAB MEMPUNYAI RAMAI MUSUH DI LUAR SANA YANG MEMBURU BELIAU?
PASTILAH. Beliau telah mengendalikan ribuan kes rasuah. Setiap hari beliau akan mengetuai satu jawatankuasa yang menimbang semua laporan yang diterima SPRM dan memutuskan sama ada kertas penyiasatan perlu dibuat atau tidak. Dalam karier beliau, ilmu hitam dan ugutan telah menjadi asam garam yang telah dilalui sejak sekian lama.

APAKAH MASALAH LEMBAGA PENASIHAT (LPPR) SPRM?
MCW menyarankan untuk mereka semua meletak jawatan kerana gagal berbincang dan bersikap profesional dalam proses menyelesaikan isu ini. Terdapat ramai lagi bekas hakim, ahli akademik, tokoh korporat dan tokoh NGO lain yang layak dilantik oleh YDPA serta berupaya menyelesaikan kes ini secara tuntas. Perlu dibuat penambaikan dengan segera. Mereka ini telah menunjukkan teladan yang buruk kepada kita semua.

APAKAH RUMUSAN YANG TERBAIK DAPAT DIBUAT BERKENAAN ISU INI?
Isu ini bukanlah kes rasuah atau salah guna kuasa serta tidak termasuk dalam kesalahan jenayah. Ianya sengaja diperbesarkan untuk menimbulkan kemarahan masyarakat. Pembelian saham bukanlah satu perkara yang luar biasa kepada penjawat awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau pasti akan sentiasa berdepan dengan ugutan dan ancaman dari pelbagai sudut. Teori konspirasi wujud dengan jelas terutamanya mendekati PRU ke 15 ini. Rakyat Malaysia perlu menyokong beliau bagi memastikan semua PERASUAH dibawa ke muka pengadilan dengan secepat mungkin.Semoga Allah SWT merahmati dan melindungi beliau sekeluarga.

Ini adalah pernyataan umum dari MCW sebagai penyataan saksama terhadap fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada TSAB – KP SPRM kebelakangan ini dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak secara khusus. Pernyataan ini adalah pandangan pribadi kami untuk makluman umum dan bukanlah suatu pandangan undang-undang, tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.