SELAIN sakit kepala, pelakon Yana Samsudin, 38, turut mengalami muntah yang berulang kali selepas membuat siaran langsung di Facebook dan ia telah mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menurut perkongsian di Instagram Yana, dia memuat naik beberapa gambar semasa mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital kira-kira jam 1 pagi, semalam.
“Terima kasih Fadzil Zahari jaga saya, ini gambar pukul 1 pagi semalam, bila sampai Avisena Shah Alam.
“Masa tengah penggambaran dengan Fadzil, Datuk Jamil Baharom dan Tuan Ahmad Daki untuk Kakyong Trade siang tadi dah rasa sakit kepala, ingatkan biasa je.
“Buat tak tahu la, habis penggambaran dah mula muntah-muntah, dah risau ni keracunan makanan ke apa sebab pukul 9 malam ada siaran langsung Facebook untuk Haus Kosmetik,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi filem Bini-Biniku Gengster itu turut menzahirkan ucapan maaf kepada penonton atas kesulitan yang berlaku semasa siaran langsung tersebut.
Malah, Yana turut memaklumkan keadaan kesihatannya semakin pulih selepas mendapat rawatan yang diberikan oleh pihak hospital.
“Minta maaf sebab siaran langsung semalam kejap-kejap pergi tandas sebab nak muntah. Lenbih lima kali. Sampai Fadzil pun kena siap sedia untuk siaran langsung dan pegang gincu.
“Dah lepas ‘inject’ semalam rasa makin okay dah, tiada demam, tiada batuk dan suhu pun normal,” tambahnya lagi.
Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen membuat andaian pelakon kelahiran Johor itu hamil anak ketiga berdasarkan tanda-tanda yang dialaminya.
Bagaimanapun, Yana tidak memberi apa-apa maklum balas serta tidak mengesahkan berita kehamilan tersebut dan kini menjalani tempoh berehat di kediamannya.
Untuk info, Yana mendirikan perkahwinan dengan Fadzil pada 13 Februari 2015 dan hasil perkahwinan itu, merka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 5, dan Aura Aisy Sofea, 2.

