BENCANA banjir yang melanda negara baru-baru ini nyata membuka mata semua tentang pentingnya persediaan awal menghadapi bencana.
Tidak dapat dinafikan banyak kemusnahan harta benda yang berlaku apabila sesuatu bencana berlaku, malahan ada juga yang kehilangan nyawa seperti yang berlaku dalam kejadian banjir awal tahun ini.
Oleh sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil inisiatif mengumumkan langkah jangka pendek dan panjang bagi mitigasi bencana dan banjir.
Antara penekanan yang dilakukan adalah mengawal penebangan hutan, membina terowong Smart dan kota takungan pinggir sungai.
Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, persediaan untuk mengurus haiwan liar juga perlu dilakukan sekiranya berlaku banjir.
Jelasnya, hal itu kerana banyak haiwan liar boleh memasuki ke kawasan tempat tinggal manusia sekiranya banjir berlaku di habitat mereka.
“Sekiranya habitat hidupan liar ini ditenggelami air, dikhuatiri haiwan-haiwan ini akan masuk ke habitat manusia.
“Habitat liar ini perlu diuruskan dengan baik dengan cara menyediakan kawasan untuk mereka menyelamatkan diri.
“Penyelidikan dan pemantauan berterusan perlu diteruskan apabila kita mengambil kira konflik hidupan liar dan manusia apabila berlaku banjir,” katanya ketika dihubungi UtusanTV hari ini.
Baca artikel berkaitan: Lapan langkah strategik tambah baik pengurusan bencana negara
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan juga perlu melihat pengurusan kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) yang ada dalam negara.
Katanya, semua kawasan RAMSAR seperti di Tasik Bera mempunyai peranan penting dan perlu diberi perhatian dalam pengurusan banjir serta habitat hidupan liar.
“Yang penting kenal pasti kawasan mudah banjir, sebab utama berlaku banjir dan perancangan terbaik untuk mengelakkan banjir.
“Latihan juga perlu diberi kepada orang awam atau wakil komuniti bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menghadapi banjir,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai idea ‘bandar span’, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berpendapat langkah itu memerlukan aktiviti berfasa.
Katanya, banyak aspek yang perlu diperincikan bagi memastikan konsep bandar span itu berjaya.
“Setiap kawasan berbeza daripada aspek iklim, landskap, kondisi bawah tanah, paras air tanah dan limitasi penggunaan tanah.
“Semua ini perlu diberikan pertimbangan tepat jika inginkan program ini berkesan,” katanya.
Selain itu, Ibrahim berkata, kajian terperinci juga perlu dilakukan sebelum membina terowong saluran air dari Klang ke Langat.
Katanya, hal itu kerana Lembah Klang memerlukan tindakan mitigasi menyeluruh bagi memastikan risiko bencana banjir dapat dikurangkan pada masa akan datang.
“Kita perlu melihat kesesuaian projek, keberkesanan pengaliran, impak alam sekitar dan sosial serta pengoptimuman kos.
“Selepas kajian terperinci selesai, elok dapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

