SEBUAH premis yang menjalankan aktiviti membeli dan menjual emas di bandar Batu Pahat, Johor dipecah masuk dua suspek hari ini.
Beberapa barang berharga telah hilang dengan kerugian dianggarkan bernilai RM55,000.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.
“Bertindak di atas maklumat berkenaan, pihak polis IPD Batu Pahat telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan dengan dibantu pasukan Forensik IPK Johor.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua orang suspek telah memecah masuk premis tersebut
melalui pintu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, orang ramai yang
mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak polis.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

