HAMZAH ZAINUDIN /Gambar FB Kdn

ASET-ASET Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan kapal dan helikopter akan ditambah, bagi membantu operasi penguatkuasaan dan menyelamat agensi itu di perairan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu dilakukan bagi memperkasakan lagi aset yang dimiliki agensi itu, memandangkan terdapat beberapa aset laut APMM yang telah berusia lebih 30 tahun.

Antara kapal yang telah berusia lebih 30 tahun termasuk KM Amanah (40 tahun), KM Langkawi (30 tahun) dan KM Siangin (lebih 30 tahun), yang kini ditempatkan di perairan sekitar semenanjung Malaysia.

“Kapal-kapal APMM yang ada telah berusia terlalu lama, jadi rancangan Kementerian Dalam Negeri adalah untuk memastikan segala aset yang diperlukan, dapat diperoleh secepat mungkin bagi membantu negara dari pencerobohan oleh mereka yang melakukan jenayah terancang (di perairan negara),” katanya.

Menurutnya kontrak telah diberikan kepada sebuah syarikat tempatan, yang sepatutnya menyerahkan kapal tersebut dua tahun lepas tetapi mengalami kelewatan kerana ketidakupayaan syarikat itu.

“Kalau tidak, kita telah ada tiga buah kapal baharu tapi oleh kerana kelewatan mereka ia tergendala, bagaimanapun kita tekan mereka untuk menentukan kapal-kapal ini siap dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-17 APPM hari ini.

Susulan itu Hamzah berkata, kapal yang pertama baharu APMM dijangka akan diterima pada tahun ini, manakala sebuah kapal lagi akan diterima tahun hadapan, dan sebuah lagi pada 2024.

Pada masa yang sama katanya pihaknya merancang untuk menambah tiga lagi helikopter untuk kegunaan APMM.

“Helikopter yang ada sekarang hanya boleh beroperasi selama empat jam, dan itu tidak mencukupi sebab itu kita rasakan perlu dapat beberapa lagi buah helikopter,” katanya.

— BERNAMA