SELEPAS pelakon Wan Sharmila, nama adik kepada penyanyi Datin Seri Heliza Helmi iaitu Hazwani Helmi pula secara tiba-tiba dikaitkan mempunyai hubungan dengan pelawak terkenal, Shuib.

Khabar angin tersebut turut mengejutkan pemilik nama Nur Hazwani Afiqah Helmi atau Hazwani,25, yang tampil menafikan dakwaan ramai tersebut.

“Terkejut macam mana wujud gosip itu… memang tak benar sama sekali. Rasanya Shuib pun terkejut agaknya sebab kami tak pernah berjumpa, tak pernah berhubung dan tak pernah ada urusan.

“Semasa saya dapat tahu berita ini, saya baru balik kelas. Ada orang ‘tag’ di Instagram… tertanya bila masa pula kena kaitkan dengan Shuib ini? Terkejut tapi tak ada la ambil masa lama sangat sebab tahu benda ini tak betul.

“Saya hanya kenal dia sebagai pelawak dan artis sahaja, tak kenal secara peribadi,” tegasnya menerusi laporan mStar.

Dalam pada itu, Hazwani yang kini bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan memohon orang ramai memastikan kesahihan sesebuah berita yang diterima terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya.

“Tak tahulah orang reka ke apa cerita itu… zaman sekarang ini apa-apa gosip kena tapis dulu,” ujarnya.

Tambahnya, dia kini mahu memberi tumpuan kepada pelajaran memandangkan masih menuntut di sebuah universiti awam dalam bidang psikologi.

“Perjalanan saya pun jauh lagi, sekarang ini pun tengah sibuk dengan pengajian sarjana muda. Apa-apa pun saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua pihak,” ulasnya.

Sumber: Mstar