TINDAKAN seorang lelaki warga asing cuba menyogok anggota polis dengan menawarkan wang bernilai RM200 mengundang padah apabila dia ditahan, kelmarin.
Ketika kejadian, suspek warga Bangladesh itu didapati tidak memakai topi keledar dalam kejadian di sekitar Batu 10 Segari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 41 tahun itu kemudiannya ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Segari yang membuat rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 5.20 petang.
Menurutnya, ketika anggota terbabit ingin mengeluarkan saman, namun suspek cuba menyogok anggota polis dengan menawarkan wang bernilai RM200 bagi melepaskan diri daripada diambil tindakan kesalahan lalu lintas.
“Selepas pihak polis memberi amaran sebanyak dua kali keatas suspek bahawa perbuatannya adalah salah disisi undang-undang, namun begitu lelaki tersebut masih berulang dengan perbuatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seterusnya kata Nor Omar, suspek kemudian ditangkap dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
“Syabas diucapkan kepada anggota Balai Polis Segari kerana menjalankan tugas dengan amanah dan berintegriti,” tambahnya.

