SUKAN menembak kebiasaannya sudah sinonim bagi kaum lelaki tetapi perkara itu tidak menjadi penghalang bagi kaum wanita untuk mempamerkan kemahiran mereka dalam mengendalikan senjata api.
Dalam Kejohanan Konfiderasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022, terdapat 41 pasukan wanita yang turut serta berentap dalam pertandingan tersebut.
Bagi seorang daripada peserta, Nurul Fatihah Muhammad Zubairy, kejohanan itu yang julung kalinya diadakan selepas lebih dua tahun tertangguh ternyata memberi peluang kepadanya untuk menguji kemahiran menembak di lapangan sasar.

“Selepas dua tahun setengah menunggu, saya gembira dan teruja kerana akhirnya IPSC ini dianjurkan semula.
“Kali ini saya lihat banyak ‘muka baharu’ menyertai pertandingan ini lebih-lebih lagi peserta wanita.
“Saya berharap lebih ramai peserta wanita dalam pertandingan menembak seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kejohanan IPSC PDRM 2022 yang berlangsung di Lapang Sasar Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya hari ini.
IPSC PDRM 2022 yang bermula 21 Februari lalu akan berakhir pada 27 Februari ini di lokasi yang sama.
Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Piala Pengarah KDNKA, Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM.
Mengulas lanjut, Nurul Fatihah yang mempunyai pengalaman lapan tahun dalam sukan menembak berkata, beliau menyasarkan untuk meraih tempat di podium dalam IPSC kali ini.
Begitupun, katanya, terdapat banyak persaingan sengit daripada peserta-peserta lain lebih-lebih lagi daripada penguatkuasa.
“Sememangnya penguatkuasa mempunyai kelebihan dalam pertandingan ini memandangkan mereka lebih banyak mengendalikan senjata api.
“Kebanyakan pemenang sebelum ini juga adalah daripada anggota penguatkuasa.
“Apapun, tahniah diucapkan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shapadu, Dato’ Sri Shafiz Shahrani dan Unit Tindakan Khas (UTK) atas penganjuran pertandingan kali ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta wanita, Dato’ Nurzarina Sepran berkata, IPSC PDRM 2022 memberi peluang kepadanya untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam pengendalian senjata api.

Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan itu berkata, IPSC PDRM 2022 memberi cabaran berbeza berbanding pertandingan menembak yang pernah disertainya sebelum ini.
“Sebelum ini saya hanya menyertai pertandingan menembak secara statik. Bila ada peluang dalam IPSC ini, saya memang berminat untuk cuba kemahiran diri.
“Dalam IPSC, aspek keselamatan sangat diutamakan dan ia memberi manfaat untuk menajamkan kemahiran mengendalikan senjata pada diri saya,” katanya.
Sementara itu, Nurzarina berkata, beliau berharap lebih ramai kaum wanita berani untuk menyertai sukan menembak.
Katanya, banyak manfaat yang diperoleh kaum wanita sekiranya menyertai pertandingan menembak seperti IPSC.
“Sebagai pemegang Lesen A, sememangnya sukan menembak ini memberi banyak ilmu pengetahun khusunya dalam bidang keselamatan.
“Bagi wanita di luar sana, boleh cuba untuk menyertai mana-mana kelab menembak yang berdaftar, asah bakat dan kemudian sertai pertandingan seperti ini,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

