Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd. Yusof dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baharu.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, pelantikan itu akan berkuatkuasa bermula hari ini.
Jelas beliau, Azman telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun bermula sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik pada 1 Disember 1992.
“Azman yang berusia 56 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti West Texas A&M, Amerika Syarikat.
“Beliau turut mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Saitama, Jepun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baca artikel berkaitan: Disuap RM700, penguat kuasa KPDNHEP didenda gagal lapor kepada SPRM
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, Azman mempunyai pengalaman luas dalam bidang perancangan, pengurusan sumber manusia dan dasar.
Tambah beliau, Azman juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

