NASIB seorang pensyarah yang mengeluarkan komen sentitif terhadap pelajar dalam video yang tular sejak kelmarin bergantung kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam kenyataan memaklumkan, hal itu selepas pihak pengurusan sudah melakukan siasatan terperinci mengenai kes tersebut semalam.
Jelas kenyataan tersebut, pihak pengurusan UiTM melalui Mesyuarat Pengurusan Eksekutif UiTM semalam mempunyai dua pilihan dalam kes itu.
“Pertama, tidak mengambil apa-apa tindakan kerana pensyarah dan pelajar terlibat telah bertemu, berbincang dan mengambil keputusan untuk mengharmonikan keadaan.
“Kedua, menamatkan kontrak pensyarah ini yang telah diperbaharui pada 15 Mac lalu. Pihak UiTM boleh menamatkan lantikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan tawaran.
“Namun, keputusan UiTM bergantung kepada nasihat dari KPT,” kata kenyataan itu.
Baca artikel berkaitan: UiTM ambil tindakan tegas terhadap pensyarah hina pelajar
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, UiTM sudah mengadakan pertemuan antara pensyarah dan pelajar terbabit pada tengah hari semalam bagi mendapatkan maklumat jelas berhubung kes itu.
Jelas kenyataan tersebut, pertemuan tersebut telah diatur di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM Cawangan Perak.
“Koordinator Program Sarjan Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan, Prof. Madya Ts Dr. Siti Akhtar Mahayuddin telah mengesahkan pelajar terbabit.
“Pertemuan telah diatur bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan, hasil siasatan mendapati kes itu berlaku pada kuliah minggu kelapan Semestar Oktober 2021-Februari 2022.
Jelas kenyatan itu, pelajar terbabit masih mempunyai seorang bapa yang tidak bekerja dan seorang ibu yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang.
Selain itu, kenyataan itu memaklumkan, pelajar tersebut menggunakan telefon bimbit bagi mengikuti kuliah secara atas talian kerana komputer peribadinya tidak dibawa bersama ke kampus.
Tambahnya, pelajar tersebut sudah lulus dalam peperiksaan akhir yang lepas termasuk kod kursus yang diajar pensyarah terbabit.
Selain itu, katanya, video yang tular itu telah direkod dan ditularkan oleh pihak yang lain tanpa pengetahuan mana-mana pihak termasuk pelajar tersebut.
Kenyataan itu berkata, pelajar tersebut sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan rakaman video berkenaan.
Jelas kenyatan itu, pelajar tersebut tidak pernah memohon bantuan zakat namun memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).