PENYANYI dari Korea Selatan, Han Byul di lihat semakin fasih berbahasa Melayu sejak kemunculannya sebagai juri jemputan di sebuah program realiti, baru-baru ini.
Menurut Han Byul atau nama sebenarnya Jang Han Byul, 32, dia mengikuti kelas Bahasa Melayu bersama dengan seorang guru bagi memantapkan lagi pengetahuannya.
“Saya belum fasih berbahasa Melayu, tetapi sedang belajar bersungguh-sungguh sejak lima bulan lalu.
“Saya gembira kerana mereka (peminat) sangat menghargai usaha yang saya lakukan. Saya risau tidak cukup bagus setiap kali berbahasa Melayu dan berlaku masalah komunikasi.
“Kalau saya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris ketika menjadi juri, saya lebih yakin dengan apa yang mahu disampaikan kepada orang ramai.
“Tetapi saya mahu membuktikan kepada semua bahawa saya sedang berusaha sebaiknya mempelajari Bahasa Melayu. Saya cuba bertutur dalam Bahasa Melayu dengan kerap untuk menjadi lebih baik.
“Saya mula belajar Bahasa Melayu sebetulnya dengan seorang guru dan kini sudah banyak penambahbaikan,” ujarnya kepada URTV.
Tambah pelantun lagu Retak itu, dia mula menjejakkan kaki di Malaysia sejak Januari lalu dan kini kembali aktif dalam kegiatan seni.
“Saya sudah menjalankan banyak penggambaran yang nanti akan dikeluarkan di televisyen.
“Selepas ini, peminat dapat melihat saya dengan lebih kerap di kaca televisyen,”ujarnya.
Han Byul berkata demikian ketika ditemui di majlis Pembukaan Butik Fipper terbaru yang bertempat di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Han Byul turut meluahkan rasa gembira kerana kehadirannya dalam industri hiburan tanah air sentiasa di alu-alukan meskipun terdapat perbezaan dari segi agama dan budaya.
“Saya tidak tahu di mana kehidupan akan bawa saya selepas ini. Tetapi buat masa sekarang, saya rasa lebih bahagia berbanding beberapa tahun kebelakangan.
“Saya seronok berada di sini (Malaysia) dan mempunyai perancangan untuk mengadakan sesuatu istimewa buat peminat.
“Malah, saya sangat sukakan rakyat di sini, mungkin kerana perbezaan agama dan budaya. Rakyat di sini juga sangat mengalu-alukan kehadiran saya.
“Mereka di sini sentiasa mahu membuatkan saya rasa selesa dan sangat memahami keadaan diri saya. Saya sangat menghargai perkara tersebut dan beruntung kerana menjadi sebahagian di dalam industri seni Malaysia,” katanya
Dalam pada itu, Han Byul juga sempat mengulas lanjut tentang perancangannya bulan Ramadan pada tahun ini.
“Saya tidak mempunyai perancangan bagi bulan Ramadan kali ini. Dahulu saya pernah cuba berpuasa untuk sebuah program televisyen, tapi bagi saya ianya (puasa) agak susah.
“Namun pastinya, jika saya ada kawan yang menjalankan ibadah puasa, saya akan menghormati dan tidak makan mahupun minum di hadapan mereka,” jelasnya.

