POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada siasatan baharu dibuat ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ia sekali gus menafikan laporan beberapa portal berhubung isu itu.
“Kali terakhir bekas Perdana Menteri dipanggil polis pada 23 Mac lalu bagi membantu siasatan kes terbitan buku bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
“Rakaman percakapan beliau diambil hanya sebagai saksi bagi menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam buku dihasilkan Tommy berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementa itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dalam satu kenyataan mendakwa beliau akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat, bgaimanapun, Dr Mahathir tidak menyatakan sebab siasatan tersebut.
BERITA BERKAITAN Polis siasat langgar SOP, Dr. Mahathir mohon maaf
“Saya akan dipanggil untuk soal siasat. Di Malaysia ini satu tekanan yang menakutkan. Tutup mulut. Tutup telinga. Awak okay,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyatakan kehairanannya kerana rakyat Malaysia tidak marah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana kedua-dua mereka antara yang disebut berkali-kali sebagai terlibat dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Laporan-laporan ini boleh dibaca dalam akhbar Malaysia. Tetapi yang peliknya ramai orang Malaysia tidak sedikit pun marah terhadap Najib dan Rosmah, jauh sekali merasa malu.
“Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti Najib disokong sehingga menang dua per tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam kenyataan itu.

