SERAMAI 528 orang tahanan etnik Rohingya bertindak di luar kawalan apabila mereka melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, pagi tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua tahanan itu bertindak memecahkan pintu blok dan jerejak penghadang sebelum melarikan diri.
“Dalam kejadian pada jam 4.30 pagi itu, mereka telah bertindak di luar kawalan apabila memecahkan pintu blok dan jerejak penghadang.
“Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan.
“Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi dan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Imigresen serbu pusat hiburan di Ipoh, tahan 27 warga asing
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula setakat jam 10 pagi tadi.
Jelas beliau, gerakan bagi mencari baki tahan yang lai sedang giat dijalankan Imigresen.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lari ini dipohon supaya memaklumkan kepada pihak JIM atau PDRM,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

