BAKI 80 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu, Rabu lalu sedang giat diburu.
Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Polis Wan Hassan Wan Ahmad berkata, setakat malam tadi, 65 lelaki dewasa, lapan wanita dewasa dan tujuh kanak-kanak perempuan belum ditemukan.
“Setakat ini, seramai 448 tahanan etnik Rohingya telah ditemukan iaitu 229 lelaki dewasa, 89 wanita dewasa, 69 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca: Lari depot: Dua dalang utama ditahan, dua lagi masih diburu
Lari depot: Tiada alat, mereka pecah pintu guna kudrat – JIM
Menurut Wan Hassan, sehingga kini jumlah tahanan yang berada di dalam depot tersebut adalah 15 orang dengan kerja-kerja dokumentasi sedang dilakukan sebelum mereka dihantar ke depot tahanan lain.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya.

