Panggung Wayang Cathay, Jalan Putra, Teluk Intan, Perak. - Gambar Internet

HARI ini sudah lapan hari sambutan Aidilfitri. Namun tidak bermakna kehangatan hari raya sudah tiada bahangnya. Sebaliknya ia masih tetap meriah disambut di sana sini, desa dan kota, bersama keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.

Ramai yang balik ke kampung halaman sudah kembali ke kota. Puas hati dapat meraikan hari raya penuh meriah di desa tercinta setelah dua kali hari raya sebelum ini terhalang lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menurut anggaran, lebih kurang empat juta kembali ke kampung halaman, menyebabkan kesesakan di lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) serta jalan persekutuan.

Perjalanan yang biasanya mengambil masa hanya beberapa jam menjadi sehingga berbelas jam. Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) sepanjang lebuh raya tak perlu nak cerita, padat serta sesak dengan orang ramai hingga sukar parkir atau untuk menghilangkan lapar dahaga.

Oleh kerana hari raya tahun ini dianggap satu kejutan, jatuh pada Isnin 2 Mei sedangkan jangkaan pada Selasa 3 Mei, jadual perjalanan juga menjadi kelam kabut. Ramai yang merancang balik kampung hari Isnin, rupanya hari Isnin adalah hari raya.

Bagi yang berkenderaan sendiri, bolehlah ubah suai perjalanan iaitu balik pada malam raya. Cuma jangan diramal waktu diambil untuk sampai ke destinasi kerana banyaknya kenderaan di jalan raya.

Namun bagi yang menggunakan pengangkutan awam, dan sudah siap menempah tiket, pilihan yang ada ialah balik kampung pada hari raya pertama, tetapi tentunya tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga. Atau biarkan tiket hangus dan balik kampung sehari dua kemudian.

Suasana sesak dengan kenderaan di lebuh raya adalah pemandangan biasa menjelang hari raya. – GAMBAR: Abd Razak Aid

Kesesakan lebuh raya sudah lumrah pada hari perayaan. Harungi dengan sabar serta semangat berkobar mahu berhari raya di kampung. Sambil itu berdoa semoga perjalanan selamat sampai dan kenderaan tidak membuat ragam dalam keadaan sesak bertali arus.

Ramai pula yang cuba mengelak kesesakan lebuh raya dengan memasuki jalan persekutuan. Tetapi ramai pula yang ada perkiraan serupa. Akhirnya jalan persekutuan juga sesak dengan kenderaan. Ke mana lagi mahu mencelah?

Kembalinya warga kota bukan bermakna seri hari raya di desa pudar. Ini kerana jika mereka dianggap sebagai gelombang pertama kembali ke desa, maka ada pula gelombang kedua yang akan balik ke kampung halaman.

Kumpulan kedua ini adalah mereka yang lebih relaks dan sabar untuk balik kampung, tidak mahu bersaing dan bersesak di jalan raya. Pada mereka, biar orang lain balik dahulu. Mereka akan balik dalam suasana yang lebih lapang dan santai.

Gelombang kedua inilah yang akan meneruskan seri dan kehangatan raya di desa. Malah memang menjadi tradisi di kampung sambutan hari raya diraikan untuk tempuh lama. Kaum keluarga dan sanak saudara datang bergilir-gilir untuk bertemu dan bermaafan.

Apatah lagi tahun ini adalah kali pertama selepas dua tahun boleh bertemu muka dan bertegur sapa secara berhadapan. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk kunjung mengunjung mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Bagi penulis sendiri, kembali ke desa di Bagan Datuk, Perak banyak mengimbau kenangan hari raya ketika bersama keluarga dan kawan-kawan semasa masih bersekolah rendah pada tahun 60-an. Kenangan yang sangat mengusik kalbu.

Sungguh meriah suasana ketika itu walau pun dalam keadaan kampung sunyi dan tiada kemudahan asas. Kini kampung sudah berubah, ada bekalan elektrik, air, telefon dan jalan tar yang tidak pernah diimpikan 60 tahun lalu. Namun suasana hari raya juga berbeza.

Pada era tersebut, penduduk kampung daripada generasi tua hingga kanak-kanak sama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana gembira dan kekeluargaan. Anak desa yang mencari rezeki di perantauan kembali ke pangkuan keluarga pada hari mulia menambah ceria.

Surau di kampung menjadi tumpuan bersolat sunat hari raya. Di sinilah bertemu setelah sekian lama tidak bersua, bertanya khabar sambil melepaskan rindu serta mengeratkan silatulrahim.

Kini ramai generasi lama yang penulis kenali sudah pergi menghadap Ilahi. Malah kawan-kawan penulis yang sama-sama ceria berhari raya semasa zaman kanak-kanak juga sudah ramai yang terlebih dahulu pergi.

Anak di perantauan pula jarang kembali apabila orang tua sudah tiada. Kerana itu kampung semakin sunyi. Ada rumah ditinggal begitu sahaja dan rebah menyembah bumi. Bagi penulis, seri hari raya tidak seperti dahulu. Ketika inilah ingatan berputar mengingati sambutan hari raya dulu-dulu.

Kerana itu juga penulis akan berkunjung ke bandar Teluk Intan (dahulu Teluk Anson) mengimbau kenangan. Pada masa itu pada setiap hari raya kedua, penulis dan rakan-rakan akan bersantai ke sini untuk berlibur sambil menonton wayang. Jaraknya kira-kira 47 kilometer dari kampung.

Teluk Intan bandar besar paling hampir dari kampung penulis. Hanya di bandar ini ada panggung wayang. Menelusuri bandar ini akan mengembalikan nostalgia menonton di panggung Rex, Capitol atau Cathay, juga makan di gerai ‘nasi lambai’ yang murah dan sedap.

RESTORAN Sultana Nasi Kandar dikenali juga sebagai restoran ‘nasi lambai’ di Teluk Intan, Perak.

Nama ‘nasi lambai’ kerana pemilik gerai akan melambai kepada semua yang lalu lalang memanggil untuk singgah makan. Nasi dengan seketul ikan, hirisan timun dan secubit sambal serta kuah hanya 50 sen. Jika lauk ayam atau daging harganya 80 sen. Air kosong percuma, sirap 10 sen.

Masuk minggu kedua hari raya hari ini, mereka yang sudah kembali ke kota dari desa akan sibuk pula meneruskan hari raya di bandar, saling kunjung mengunjung setelah kembali dari kampung. Rumah terbuka juga menunggu pengunjung.

Tidak hairan jika kali ini lebih ramai berbuat demikian memandangkan sudah dua tahun aktiviti ini tidak diadakan. Inilah juga cara mengumpul dan merapatkan hubungan di kalangan saudara mara, jiran dan kawan-kawan.

Selagi Syawal belum ke penghujung, suasana hari raya tetap terasa dan majlis-majlis hari raya tetap diadakan. Benarlah kata orang Syawal itu sebulan.

Bagi penulis, setiap ketibaan fajar Syawal akan teringat kembali kenangan manis masa lalu yang tetap tersimpan kemas dalam memori. Indahnya ketika itu. Sayangnya masa tidak boleh diputar kembali!

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram