PENYANYI Aiman Tino meluahkan rasa terkejut selepas mendapat khabar rakannya antara mangsa korban dalam kemalangan tragis di Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak, malam tadi.

Menurut Aiman,24, arwah rakannya iaitu Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar,22, disifatkan seorang yang baik dan peramah.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah pada Februari lalu sewaktu dia datang mengambil tempahan biskut Nutella Pods yang saya jual.

“Saya dapat khabar berita mengenai kematian arwah daripada abang sebab dia nampak perkongsian WhatsApp Story adiknya.

“Pada mulanya saya fikir tak begitu teruk tetapi tak sangka dia meninggal dunia dalam kemalangan itu.

“Dia orang yang sangat baik dan bagus. Kami tidaklah terlalu rapat tapi memang saling mengenali. Sepanjang berkawan, saya akui rasa segan dengannya kerana arwah merupakan anak ustaz. Malah dia selalu memberi sokongan terhadap apa jua jenis perniagaan yang saya usahakan,” katanya memetik laporan Kosmo!.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima rentung nahas tiga kenderaan dekat Terowong Menora, Cita-cita pelajar rentung dalam kemalangan ikut jejak ibu tidak kesampaian, Lima rentung: Polis tahan pemandu treler bawa muatan besi, Perdana Menteri sedih terima berita lima pelajar USAS rentung

Lebih memilukan dan memberi kesan kepada Aiman apabila Muhammad Nasrun tidak sempat memberikan lirik sebuah lagu untuk dinyanyikannya.

Ujar Aiman, arwah seorang yang gemar menyanyi memandangkan mereka pernah terlibat dalam kumpulan nasyid ketika bersekolah di kampung mereka, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Dia memang minat menyanyi dan tulis lirik. Kalau tengok dalam Instagramnya, arwah kerap menyanyikan lagu ‘cover’.

“Dia pernah luahkan hasrat nak beri lirik sebuah lagu ketuhanan kepada saya tapi sayangnya hasrat itu tidak kesampaian apabila dia pergi terlebih dahulu,” kongsi Aiman.

Muhammad Nasrun antara lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam insiden di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora.

Dalam kejadian sekitar 12.52 malam itu, kesemua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta dan treler.

Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 yang duduk di bahagian penumpang belakang.