SEORANG lelaki yang merupakan pesakit mental akan dikenakan tindakan kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif projek perumahan rakyat (PPR), semalam.

Sehubungan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membawa suspek ke Hospital Bahagia.

Menurut beliau, siasatan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan merupakan seorang pesakit mental.

Habibi memaklumkan, kes yang tular dalam media sosial itu disiasat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Kuala Lumpur.

“Kita telah merakam percakapan mangsa dan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Baca artikel berkaitan: Penuntut maktab dicabul dalam bas, pemandu ditahan

“Berdasarkan keterangan, suspek adalah penghidap sakit mental dan kita akan mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan dia dibawa ke Hospital Bahagia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian yang tular dalam media sosial itu, kanak-kanak itu dikatakan diminta ibunya ke kedai runcit berdekatan rumahnya bersama sepupu lelaki berusia tiga tahun.

Ibu mangsa kemudian mendapati anaknya pulang dalam keadaan ketakutan dan menangis kerana dikejar suspek yang berusia lingkungan 30-an itu.

Suspek didakwa menahan pintu lif sebelum meraba alat sulit serta dada kanak-kanak perempuan tersebut.

Ibu mangsa turut mendakwa kejadian itu pernah berlaku sebelum ini dan laporan polis dibuat kerana risau keselamatan dirinya serta anak-anak.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram