Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan pada hari kedua lawatan khas Seri Paduka ke negara berkenaan. GAMBAR: Ihsan Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan pada hari kedua lawatan khas Seri Paduka ke negara berkenaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan, rombongan Seri Paduka telah berangkat tiba di Istana Mushrif, Abu Dhabi pada kira-kira pukul 12 tengah hari, waktu tempatan.

Menurut Ahmad Fadil, beliau bersama-sama Ketua Protokol Wisma Putra, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Datuk Rozainor Ramli telah mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir satu jam itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka telah berkenan menyampaikan titah salam takziah atas pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden dan Ketua Negara UAE yang baharu.

Ahmad Fadil memaklumkan, Seri Paduka turut bertitah bahawa hubungan dua hala yang sedia ada terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Baca artikel berkaitan: Agong berangkat ke Abu Dhabi beri penghormatan terakhir

“Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan dan mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.

“Seri Paduka turut menyifatkan pemergian Almarhum Sheikh Khalifa sebagai kehilangan besar kepada rakyat UAE dan negara-negara Arab.

“Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka telah diterima Sheikh Mohamed.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum; Pemerintah Fujairah, Sheikh Hamad bin Mohammed Al-Sharqi; Pemerintah Syarjah, Sheikh Sultan Al-Mohamed Al-Qasimi dan menteri-menteri Kabinet UAE.

Malaysia dan UAE mempunyai hubungan dua hala amat rapat serta mesra di pelbagai peringkat termasuk kedua-dua pemimpin dan sesama rakyat.

Keberangkatan Seri Paduka ke Abu Dhabi adalah atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram