IBU kepada selebriti Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed meluahkan rasa bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh anaknya dalam bidang yang diminati.

Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram Story milik Noor Kartini, dia berkongsi personaliti dan peribadi yang orang luar tidak nampak tentang anak kesayangannya itu.

Malah ujar Noor Kartini, dia berharap apa yang didedahkan itu dapat menyuntik semangat serta memberi inspirasi buat semua golongan di luar sana.

Menurut Noor Kartini lagi, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor,34, merupakan seorang anak yang taat pada kedua orang tua serta sangat kuat walaupun mengharungi pelbagai liku-liku pada tahap kemuncak kariernya.

“Bagi Mama, anak yang bernama Lofa ini sangat luar biasa, kekuatan dia, kegigihan dia, pengorbanan dia. Air mata dia jarang orang nampak.

“Kita semua boleh tengok jihad dia melawan diri dia sendiri ketika di puncak. Dia mula pakai purdah. Dia berhijrah dan mengaji agama dari mula, panggil ustaz, tak pernah berhenti untuk upgrade diri,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama, Neelofa dikatakan sangat komited dengan kerja sehingga waktu rehat juga dikorbankan untuk kejayaan dalam perniagaannya.

“Kalau Lofa dan bisnes bagi Mama dia sangat komited dengan kerja dia.

“Dia bekerja setia hari siang dan malam tak ada masa rehat untuk diri dia dan komitmennya tinggi,” katanya.

Neelofa yang juga bekas hos program MeleTOP itu juga seorang yang menghargai masa dan mempunyai idea-idea kreatif yang tidak terfikir oleh orang lain.

“Dia seorang yang menghargai masa, kalau janji jam 10, sebelum jam 10 dia dah sampai. Dia sangat kreatif bagi Mama dan dia ada idea yang diluar kotak. Selalu hasilkan yang indah-indah,” ungkapnya.

Doa seorang ibu turut dipanjatkan buat pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu agar terus berjaya dan menjadi contoh buat semua orang dalam pelbagai aspek.

“Mama doakan dia terus berjaya dan jadi wanita yang menjadi kebanggaan agama dan negara.

“Dan setiap doa dia Allah kabulkan setiap apa yang hajat dia Allah sempurnakan dan semua impian-impian dia Allah tunaikan asbab kebaikan dia kepada Mama sebagai ibu. Amin. Amin. Amin..,” tulis Noor Kartini lagi.

Untuk rekod, Neelofa merupakan anak ketiga daripada sembilan orang adik beradik dan telah berkahwin dengan seorang pelakon dan pendakwah bebas Muhammad Haris Mohd Ismail, 27, pada 27 Mac 2021 serta dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Bilal.